KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Kerajaan bersetuju menaikkan kadar Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) bagi musim penanaman 2026 daripada RM160 kepada RM300 sehektar, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau berkata insentif melibatkan tambahan dana sekitar RM40 juta itu merupakan antara langkah segera kerajaan dalam mengurus krisis tenaga global, sekali gus melindungi dan menjamin kelangsungan hidup rakyat yang membanting tulang sebagai pesawah.
“Langkah ini akan memanfaat hampir 200,000 pesawah padi yang sebahagiannya bakal memulakan penanaman padi bulan ini.
“Sebagai bantuan tambahan, tahun lepas juga, Kerajaan MADANI memperkenalkan Insentif Penuaian sebanyak RM50 sehektar semusim bagi meringankan beban kenaikan kos input,” katanya dalam taklimat krisis tenaga global hari ini.
Akmal Nasrullah berkata dalam usaha menambah baik bantuan diesel kepada kumpulan sasar yang menyediakan bekalan asas kepada rakyat, Kerajaan MADANI juga bersetuju menaikkan kadar Bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi kepada RM400 sebulan berbanding RM300 bagi April ini.
Akmal Nasrullah berkata kadar baharu itu akan memberi manfaat kepada lebih 200,000 petani dan pekebun kecil, membabitkan dana tambahan sebanyak RM20 juta sebulan.
Selain itu, beliau berkata kadar bantuan tunai BUDI Diesel Individu kepada rakyat Malaysia yang layak juga dinaikkan kepada RM400 sebulan berbanding RM300 bagi April, yang akan memanfaatkan sekitar 150,000 pemilik kenderaan diesel individu di Semenanjung.
“Pelaksanaan dan hebahan inisiatif melibatkan dana tambahan sebanyak RM15 juta sebulan ini akan dipantau Kementerian Kewangan dari semasa ke semasa,” katanya.
Akmal Nasrullah berkata dalam menjamin bekalan tenaga, kerajaan bersama PETRONAS dan pihak berkaitan berusaha memastikan bekalan tersebut sebagai keutamaan, termasuk ketibaan kapal bekalan ke Pengerang, Johor pada pertengahan April.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial