KANGAR, 14 April (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis merekodkan 601 kes pembakaran terbuka bagi tempoh Januari hingga Mac lepas, peningkatan ketara berbanding tempoh sama tahun lepas yang hanya 162 kes.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM Datuk Ahmad Izram Osman berkata peningkatan itu dipengaruhi keadaan cuaca panas dan kering yang melanda negara tahun ini, terutama di Perlis.
"Kebakaran belukar dan lalang mencatat jumlah tertinggi iaitu 565 kes setakat Mac lepas," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) JBPM Perlis di Ibu Pejabat JBPM Perlis di sini hari ini.
Ahmad Izram berkata situasi itu amat membimbangkan kerana kebakaran terbuka tidak terkawal boleh merebak dengan cepat serta menjejaskan alam sekitar, kesihatan awam dan keselamatan harta benda.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka serta mematuhi arahan pihak berkuasa termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang mempunyai kuasa penguatkuasaan terhadap perbuatan tersebut.
"Orang ramai dimohon melaporkan segera sebarang kejadian kebakaran kepada pihak bomba melalui sistem panggilan kecemasan baharu negara, Next Generation Emergency Service (NG999)," katanya.
Terdahulu,18 pegawai dan anggota JBPM Perlis menerima APC manakala 17 penerima Sijil Perkhidmatan Terpuji sebagai pengiktirafan terhadap prestasi dan dedikasi mereka sepanjang tahun lepas selain lima penerima Sijil Perkhidmatan 30 Tahun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial