Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Integrasi Pas Rapid KL, KTM Komuter Sukar Dilaksanakan, Operasi Dan Sistem Berbeza - Loke

14/04/2026 04:29 PM

PUTRAJAYA, 14 April (Bernama) -- Cadangan untuk mengintegrasikan pas perjalanan perkhidmatan Rapid KL dengan KTM Komuter dilihat sukar untuk dilaksanakan buat masa ini berikutan perbezaan sistem serta kos pengendalian antara kedua-dua perkhidmatan tersebut.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata perbincangan mengenai usaha tersebut telah lama dibuat, namun pelaksanaannya menghadapi beberapa kekangan utama dari segi struktur operasi dan skop perkhidmatan.

Beliau menjelaskan perkhidmatan LRT, MRT dan monorel dikendalikan oleh Prasarana Malaysia Bhd, manakala KTM Komuter pula berada di bawah kendalian Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) yang melibatkan dua pengendali berbeza dengan sistem operasi yang tidak seragam.

Ad Banner

"Selain itu, (jarak) perjalanan komuter lebih jauh dan bersifat antara negeri. (Perkhidmatannya) bukan sahaja meliputi Lembah Klang, tetapi juga jarak jauh seperti dari Tampin atau Gemas ke Klang, malah sehingga ke Tanjung Malim di utara," katanya pada sidang media mengenai kempen penggunaan perkhidmatan rel bagi menangani peningkatan kos bahan api, di sini, hari ini.

Loke berkata perbezaan jarak perjalanan dan skala operasi tersebut menyebabkan kos pengendalian perkhidmatan komuter jauh lebih tinggi, sekali gus menjadikan usaha untuk mengintegrasikannya dengan pas My50 Rapid KL agak sukar dilaksanakan.

Beliau berkata walaupun KTMB dan Prasarana merupakan syarikat milik kerajaan (GLC), kedua-duanya tetap perlu menampung sebahagian kos operasi bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan kepada rakyat.

Perkhidmatan pengangkutan awam negara tidak berorientasikan keuntungan, sebaliknya memerlukan sokongan kewangan berterusan daripada kerajaan, katanya.

"Setiap tahun sebenarnya terdapat jurang pembiayaan yang besar yang perlu ditanggung oleh kerajaan. KTMB umpamanya, jurang pembiayaan dianggarkan sekitar RM300 juta.

"Jadi perkhidmatan ini bukannya berorientasikan keuntungan… tetapi untuk memastikan kelangsungan perkhidmatan, sebahagian kos itu perlu kita tampung," kata Loke.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan akan tetap berusaha memenuhi keperluan rakyat untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang cekap dan berkesan.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan