Oleh Nabilah Saleh dan Yasmin Ahmad Zukiman
KUALA LUMPUR, April 13 (Bernama) -- Malaysia perlu bertindak pantas dan strategik dalam mendepani risiko gangguan bekalan serta krisis tenaga global susulan ketegangan geopolitik di Selat Hormuz.
Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Muhammad Fuad Othman berkata kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengenai sekatan di laluan berkenaan dijangka menjejaskan bekalan minyak dunia, sekali gus memberi kesan ketara kepada Malaysia.
“Justeru, Malaysia perlu mencari bekalan dari negara-negara lain selain memaksimumkan pengeluaran minyak tempatan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata peralihan kepada tenaga boleh baharu seperti solar perlu dipercepat sebagai langkah jangka sederhana dan panjang, selain mempertimbangkan pelaksanaan catuan bekalan sekiranya keadaan memerlukan.
Menurut beliau, penyusutan simpanan negara yang dijangka seawal Mei memerlukan tindakan segera termasuk memperkemas pelaksanaan subsidi bersasar bagi memastikan kelangsungan kesejahteraan rakyat, industri dan negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata kerajaan akan terus meneliti langkah bersesuaian bagi menangani isu kenaikan harga barang keperluan dan bahan api yang menjadi perhatian rakyat ketika ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata mesyuarat melibatkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang menumpukan implikasi keselamatan dan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang membincangkan isu ekonomi akan diadakan esok.
Beliau berkata kerajaan setakat ini telah mengambil inisiatif mengekalkan harga subsidi petrol RON95 pada paras RM1.99 seliter bagi meringankan beban rakyat, selain menyediakan bantuan diesel untuk pengangkutan bas sekolah.
Dalam menghadapi kemungkinan konflik berpanjangan, Muhammad Fuad berkata pendekatan bekerja dari rumah (BDR) serta pengukuhan sesi pengajaran dan pembelajaran secara maya wajar dipertimbangkan, selain menangguhkan projek berskala besar hingga keadaan ekonomi kembali stabil.
Beliau turut mencadangkan agar MTEN merangka langkah penjimatan bagi meredakan kesan ketidakseimbangan ekonomi.
Bagi melindungi golongan rentan, beliau mencadangkan pengenalan kupon makanan untuk golongan termiskin serta pelaksanaan semula Program Inisiatif Bekal Makanan Di Sekolah, serta memperkasakan penggunaan pengangkutan awam sebagai langkah mengurangkan tekanan kos sara hidup.
Sementara itu, Penganalisis Strategi Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa Universiti Malaya (UM) Collins Chong Yew Keat berkata pendirian Malaysia perlu kekal jelas dan berprinsip dalam konflik antara Iran dan AS, di samping memastikan kepentingan negara terus terpelihara dalam landskap geopolitik yang semakin mencabar.
“Prinsip pemahaman saya tentang konflik ini masih kekal sama, ia terus berlaku (sekurang-kurangnya) hingga tiga bulan lamanya. Kedua-dua pihak masih mempunyai insentif untuk meneruskan rundingan, termasuk melalui saluran tidak rasmi, walaupun tidak mahu dilihat lemah secara terbuka,” katanya.
Chong berkata kedua-dua pihak dilihat berusaha memaksimumkan ‘kelebihan’ masing-masing dan menguji sejauh mana penerimaan threshold atau red lines dalam tempoh gencatan senjata dua minggu.
“Pendekatan itu merupakan dinamika biasa dalam mana-mana rundingan, khususnya apabila pentadbiran Presiden Donald Trump dilihat cuba menekan Tehran supaya kembali ke meja rundingan pada kedudukan yang lebih lemah sebagai sebahagian daripada taktik maximum pressure dan negotiating from a point of strength,” katanya.
Chong juga tidak menolak risiko campur tangan, pengaruh dan sabotaj pihak ketiga dan pihak luar atau salah perkiraan sepanjang gencatan ini yang boleh menggagalkan usaha gencatan senjata sekali gus meningkatkan kembali ketegangan.
Iran dan AS memulakan rundingan di Islamabad pada Sabtu lepas, selepas Trump mengumumkan persetujuan dengan Tehran mengenai gencatan senjata selama dua minggu.
Pada pagi Ahad, ketua delegasi AS Naib Presiden J D Vance mengumumkan bahawa Iran dan AS gagal mencapai persetujuan selepas rundingan, justeru delegasi AS pulang tanpa sebarang perjanjian.
Susulan itu, Trump mengumumkan bahawa AS akan memulakan sekatan ke atas semua kapal yang cuba masuk dan keluar dari Selat Hormuz dan beliau juga mengarahkan Tentera Laut AS menjejaki dan memintas semua kapal yang membayar kepada Iran untuk melalui selat itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial