Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Selangor Perkukuh Pasaran Buruh Menerusi Sembilan Siri Jelajah Jobcare 2026

11/04/2026 02:55 PM

BANTING, 11 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor memperkukuh pasaran buruh dan peluang mencari pekerjaan menerusi penganjuran sembilan siri Karnival Jelajah JobCare 2026 di seluruh daerah tahun ini dengan Kuala Langat sebagai lokasi pembuka tirai.

Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan negeri V. Papparaidu berkata inisiatif itu bertujuan mempertingkat padanan pekerjaan secara lebih berkesan antara majikan dan pencari kerja di seluruh negeri.

“Sebanyak sembilan siri karnival diadakan di setiap daerah dan dua lagi karnival termasuk berkonsepkan istimewa serta ‘high quality job’ bagi memperluas akses peluang pekerjaan termasuk membabitkan golongan rentan.

Ad Banner

“Jadi hari ini sebanyak 30 majikan telah mengambil bahagian dengan tawaran gaji kompetitif, malah ada yang mencecah hingga RM12,000 bergantung kepada jawatan khususnya pada peringkat pengurusan,” katanya pada sidang media selepas pelancaran karnival itu di Kolej MCS, di sini hari ini.

Beliau berkata sebanyak 4,348 peluang pekerjaan ditawarkan merangkumi pelbagai sektor, sekali gus mencerminkan permintaan tenaga kerja yang kekal stabil di Selangor.

Mengulas lanjut, Papparaidu berkata pendekatan karnival fizikal itu membolehkan interaksi langsung antara majikan dan pencari kerja bertujuan mempercepat proses pengambilan tenaga kerja.

Beliau berkata kesinambungan penganjuran jelajah pada setiap daerah penting bagi memastikan pasaran buruh kekal dinamik dan responsif terhadap keperluan industri semasa.

“Padanan pekerjaan yang lebih baik mampu meningkatkan pendapatan rakyat dan secara tidak langsung membantu mengurangkan kadar kemiskinan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata antara cabaran dikenal pasti termasuk kehilangan pekerjaan serta ketidakstabilan pendapatan yang boleh menjejaskan kesejahteraan isi rumah.

“Golongan bekerja sendiri juga digalakkan mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebagai langkah perlindungan sekiranya berlaku insiden yang menjejaskan sumber pendapatan.

"Selain itu, kestabilan pendapatan merupakan faktor penting dalam memastikan penyertaan tenaga kerja yang mampan dalam ekonomi negeri," katanya.

Siri kedua Karnival Jelajah JobCare 2026 akan diteruskan ke Petaling Jaya di pusat beli-belah The Curve, Mutiara Damansara dengan sasaran memperluas capaian peluang pekerjaan kepada rakyat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan