Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Malaysia Pada Titik Penting Peralihan Ke Bandar AI - PM Anwar

10/04/2026 08:38 PM

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Malaysia kini berada pada titik penting untuk beralih daripada pembangunan Bandar Pintar kepada pembangunan Bandar Kecerdasan Buatan (AI) sebagai asas kepada aspirasi Malaysia menjadi sebuah Negara AI.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu ditegaskan beliau semasa mempengerusikan mesyuarat khas bagi meneliti dan menyelaraskan pelaksanaan model Bandar AI untuk Malaysia di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, pagi tadi.  

Beliau berkata peralihan itu bukan sekadar penerapan teknologi baharu sebaliknya menuntut transformasi menyeluruh dalam cara merancang, mentadbir dan mengurus bandar agar lebih cekap, berdaya tahan serta berpaksikan data.

Ad Banner
Ad Banner

“Usaha ini memerlukan ekosistem yang kukuh, merangkumi tadbir urus AI dan data yang selamat, infrastruktur digital berkapasiti tinggi, pembangunan bakat tempatan serta kerangka dasar dan perundangan yang menyokong inovasi secara bertanggungjawab.

“Mesyuarat turut bersetuju agar Kementerian Digital bertindak sebagai penyelaras utama dengan kerjasama rapat kementerian dan agensi berkaitan,” katanya dalam catatan di Facebook.

Anwar berkata kerajaan juga akan terus memperkukuh sinergi berkenaan bagi memastikan pelaksanaan berkesan dan berimpak tinggi demi manfaat menyeluruh kepada rakyat serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai Negara AI yang berdaya saing di peringkat global.

Sebelum ini, Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata Malaysia kini giat melaksanakan Pelan Tindakan AI Kebangsaan bagi mencapai aspirasi menjadi Negara AI menjelang 2030.

Beliau berkata tahun 2026 akan menjadi detik penting dalam usaha mencapai aspirasi itu dengan memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi, bakat, tadbir urus, infrastruktur serta pelaburan mampan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan