Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Dakwaan IPT Lubuk Rasuah Tidak Bertanggungjawab, Beri Imej Buruk Kepada Institusi Pendidikan

07/04/2026 01:08 PM

JOHOR BAHRU, 7 April (Bernama) -- Dakwaan yang melabel Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sebagai lubuk rasuah disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab kerana boleh melemahkan dan memberikan imej buruk kepada institusi pendidikan negara.

Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim berkata meskipun terdapat  terdapat beberapa kes terpencil, ia tidak boleh dijadikan asas untuk melabel keseluruhan IPT.

Beliau berkata sesebuah institusi pendidikan memerlukan masa puluhan tahun untuk dibangunkan dan tidak seharusnya diruntuhkan dengan dakwaan seumpama itu.

Ad Banner
Ad Banner

Mohd Shafry berkata dakwaan tersebut juga berpotensi menjejaskan keyakinan masyarakat termasuk pelajar untuk melanjutkan pengajian di universiti tempatan.

"Kita tidak boleh hanya kerana satu atau dua isu, kita melabelkan sesuatu institusi yang mana ia dibangunkan sekian lama.

"Tak kan kita hendak runtuhkan institusi pendidikan begitu sahaja, bagi saya, itu bukan satu kenyataan yang bertanggungjawab," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Makmal Satelit Bersama UTM dan University of Canterbury, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan berita yang dilaporkan mendakwa IPT kini menjadi lubuk rasuah apabila gejalanya menular secara senyap dalam ekosistem pendidikan negara.

Mohd Shafry berkata setiap agensi kerajaan  atau organisasi termasuk universiti mempunyai sistem integriti dan tadbir urus yang jelas, termasuk dalam proses pemerolehan.

"Sistem integriti dalam universiti telahpun sedia ada, kita ada proses (termasuk) pemerolehan,  proses kerja dan kaedahnya, semua mengikut pekeliling yang telahpun diberi panduan oleh kerajaan.

"Kita (terdedah rasuah) bukan semudah itu sahaja, malahan kalau kita ada anak-anak syarikat, itu pun dikawal oleh akta dan undang-undang," katanya.

Beliau percaya mana-mana IPT juga bersedia dan terbuka untuk memberikan sebarang kerjasama dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sekiranya disiasat membabitkan isu rasuah. 

Semalam laporan berita turut memetik beberapa kes rasuah membabitkan individu di beberapa IPT, termasuk kes SPRM membuka kertas siasatan terhadap sebuah universiti berhubung isu tatakelola dan ketidakaturan pengurusan kewangan susulan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 baru-baru ini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan