Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

PPj, Carsome Jalin Kerjasama Laksana Kelas Bahasa Antarabangsa Bagi Kanak-kanak Putrajaya

06/04/2026 11:59 AM

PUTRAJAYA, 6 April (Bernama) -- Perbadanan Putrajaya (PPj) mengukuhkan usaha melahirkan generasi muda berdaya saing dengan melaksanakan program kelas bahasa antarabangsa untuk kanak-kanak di Putrajaya selaras dengan seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar rakyat Malaysia menguasai bahasa global.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata program yang terbahagi kepada dua kohort itu ditaja oleh platform e-dagang kereta, iaitu Carsome Sdn Bhd (Carsome) yang memperuntukkan RM40,000 bagi pelaksanaannya.

“Kelas bahasa ini akan ditaja melalui konsep tanggungjawab sosial korporat oleh Carsome kerana mereka telah bertapak di Putrajaya sejak Januari lepas dan saya mahu pihak swasta yang lain juga tampil menyertai inisiatif sebegini,” katanya selepas menghadiri Majlis Inisiatif Penguasaan Bahasa Antarabangsa Untuk Generasi Muda Putrajaya dan Bantuan Khas Mobiliti Komuniti Putrajaya di sini hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Turut hadir Presiden PPj Datuk Mohd Sakeri Abd Kadir dan Ketua Pegawai Eksekutif Carsome Group Eric Cheng.

Bagi 2026, kelas bahasa berkenaan akan merangkumi pembelajaran bahasa Inggeris, bahasa Arab, bahasa Mandarin dan bahasa Korea dengan kohort pertama bermula 11 April hingga 14 Jun manakala kohort kedua bermula 11 Julai hingga 6 Sept depan.

Program itu terbuka kepada kanak-kanak dan remaja berumur tujuh tahun ke atas dan akan dijalankan di beberapa Pusat Pembelajaran Kejiranan di Putrajaya.

Hannah berkata program itu turut memberi penekanan kepada pembelajaran secara fizikal bagi membolehkan pelajar mempraktikkan bahasa bersama rakan sebaya, sekali gus mampu memberi kesan positif kepada ibu bapa, khususnya dalam kalangan penjawat awam di Putrajaya untuk turut meningkatkan kemahiran diri.

Selain itu, PPj juga sedang bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi meneroka pengiktirafan sijil penyertaan program itu sebagai sebahagian daripada aktiviti sokongan dalam Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan