IPOH, 4 April (Bernama) -- Orang ramai diundang mengunjungi reruai Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada Program MADANI Rakyat (PMR) 2026 Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, di sini bagi mengenali dan mengetahui dengan lebih dekat perkhidmatan disediakan agensi berita nasional itu.
Penolong Pengurus Hal Ehwal Korporat Bernama Mohammad Suherman Anuar berkata penyertaan kali ketiga agensi itu dalam PMR bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kewujudan dan perkhidmatan Bernama.
“Setiap kali penganjuran PMR, kita tidak pernah ketinggalan untuk menyertainya dan platform ini secara dasarnya membantu dalam menyebarluaskan fungsi dan bidang tugas Bernama kepada masyarakat.
“Selain itu, objektif utama kami ialah berinteraksi secara langsung dengan pengunjung dan memperkenalkan platform Bernama seperti televisyen, radio dan perkhidmatan berita,” katanya ketika ditemui di reruai agensi itu di sini hari ini.
Beliau berkata maklum balas umum berkaitan Bernama adalah positif, terutamanya daripada wakil kementerian yang sudah sedia maklum tentang peranan dan perkhidmatan agensi itu.
“Namun bagi komuniti setempat, masih ada yang kurang mengetahui fungsi Bernama. Kehadiran kami secara fizikal sedikit sebanyak membantu mereka memahami fungsi dan peranan agensi berita ini dengan lebih baik,” katanya.
Mengenai aktiviti diadakan di reruai itu, Mohammad Suherman berkata pengunjung boleh menyertai sesi soal jawab, kuiz digital, permainan Kahoot serta memuat turun aplikasi Bernama untuk mendapatkan hadiah misteri.
Pengunjung Nur Aisyah Mohd Faiz, 17, berkata teruja dapat mencuba aktiviti interaktif di reruai Bernama yang memberi pemahaman lebih terperinci berkaitan fungsi dan peranan agensi itu.
“Sebelum ini tahu dan pernah dengar nama, cuma ada peranan Bernama yang masih kurang jelas. Bila ada program seumpama ini, ia beri peluang untuk saya tahu dengan lebih lanjut,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Izzat Hakimi, 21, berkata pendekatan interaktif dibawakan Bernama wajar diteruskan bagi memastikan lebih ramai golongan muda memahami peranan media dengan lebih jelas.
“Kaedah ini juga memberi peluang kepada Bernama untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kewujudan serta perkhidmatan yang ditawarkan selain mendekatkan agensi itu dengan golongan muda secara lebih berkesan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial