JERTIH, 4 April (Bernama) -- Seorang wanita warga emas dan anak lelakinya melecur hampir sebahagian anggota badan ketika cuba menyelamatkan diri dalam kebakaran di rumah mereka di Kampung Oh, di sini, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jertih Mustafa Ismail berkata mangsa, Fauziah Ali, 75, dan anaknya Azli Abu, 45, dihantar oleh orang awam ke Hospital Besut untuk rawatan.
“Sebuah jentera bomba bersama lapan anggota digegaskan ke lokasi selepas pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 5.14 pagi.
“Setiba di lokasi kejadian, didapati rumah jenis separuh kekal itu terbakar 80 peratus dan operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada 7.28 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kedua-dua mangsa melecur sebanyak 45 peratus manakala punca serta anggaran kerugian sedang disiasat.
Sementara itu, jiran mangsa, Mohd Rafain Ruzlan, 30, berkata dia mendengar Azli memanggil meminta pertolongan kira-kira 5 pagi.
“Kebetulan saya telah terjaga dari tidur dan berada di luar rumah. Saya terus meluru dan menendang pintu utama rumah memandangkan kedua-dua mangsa mengambil masa untuk membuka pintu dari dalam.
“Apabila saya masuk, api yang dipercayai bermula dari dalam sebuah bilik telah membakar tilam dan semakin marak manakala Azli berusaha memadam kebakaran,” katanya.
Mohd Rafain berkata dia kemudian menggendong Fauziah keluar dari rumah itu manakala Azli keluar sendiri dalam keadaan merangkak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial