Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya Pulih, Mangsa Terjatuh Dirawat Di HKL

03/04/2026 08:48 PM

KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya yang mengalami gangguan petang ini susulan insiden penumpang terjatuh di kawasan landasan di Stesen Abdullah Hukum, kembali pulih.

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkhidmatan LRT pulih pada 6.59 petang dan perkhidmatan tren sedang diselaraskan secara berperingkat.

Bagi memastikan keselamatan dan kelancaran pergerakan penumpang, anggota polis bantuan dan petugas stesen masih ditempatkan di platform serta ruang legar stesen bagi membantu penumpang.

Ad Banner
Ad Banner

“Rapid Rail memohon maaf atas segala kesulitan dialami dan amat menghargai kesabaran serta kerjasama penumpang sepanjang tempoh gangguan perkhidmatan,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, perkhidmatan tren itu mengalami gangguan pada 6.09 petang susulan kemalangan yang melibatkan seorang penumpang terjatuh, bagaimanapun mangsa diselamatkan dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan.

Susulan itu, Rapid Rail memaklumkan perkhidmatan tren antara stesen Universiti, Kerinchi dan Abdullah Hukum dihentikan sementara dengan perkhidmatan tren alternatif termasuk bas perantara percuma diaktifkan.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan mangsa, wanita tempatan berusia 39 tahun mengalami kecederaan pada bahagian tangan dan muka.

PGO memaklumkan bomba menerima panggilan kecemasan pada 6.19 petang dan sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pantai berjaya mengeluarkan mangsa pada 6.38 petang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan