PUTRAJAYA, 3 April (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima pengiktirafan di Anugerah Kecemerlangan Teknologi Malaysia 2026 bagi pembangunan MCMC NEXUS.
MCMC NEXUS merupakan platform risikan rangkaian kebangsaan untuk meningkatkan pemantauan dan pengurusan prestasi keterhubungan di seluruh negara.
MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan anugerah yang diterima dalam kategori Analisis – Telekomunikasi itu mencerminkan kemajuannya dalam memanfaatkan pendekatan berasaskan data untuk memperkukuh pengawasan kawal selia dan meningkatkan kualiti keseluruhan perkhidmatan telekomunikasi di Malaysia.
“Platform NEXUS membolehkan pemantauan prestasi rangkaian secara masa nyata dengan mengubah pengukuran mudah alih sumber khalayak kepada maklumat yang boleh diambil tindakan, membolehkan jurang sambungan dikenal pasti dengan yang lebih tepat dan intervensi dilakukan dengan lebih pantas, bersasar,” demikian menurut kenyataan itu.
Ciri utama platform itu ialah keupayaan Auto Alert, sejajar dengan Piawaian Mandatori untuk Kualiti Perkhidmatan (MSQoS) Malaysia, yang membolehkan pengesanan awal potensi penurunan perkhidmatan dan memudahkan penglibatan tepat pada masanya dengan pengendali rangkaian mudah alih.
MCMC berkata platform itu dibangunkan berdasarkan prinsip privasi yang ketat dan tidak mengumpul maklumat peribadi yang boleh dikenal pasti, dengan semua data dirahsiakan untuk analisis di seluruh negara.
Jabatan Perlindungan Data Peribadi juga telah mengesahkan bahawa aplikasi itu mematuhi undang-undang perlindungan data Malaysia.
“Pada majlis anugerah yang sama, Bahagian Modal Insan MCMC turut mendapat pengiktirafan dalam kategori Realiti Terimbuh dan Realiti Maya – Organisasi Kerajaan untuk MetaHRise, satu inisiatif pembelajaran imersif untuk meningkatkan pembangunan keupayaan melalui pembelajaran berasaskan pengalaman,” menurut kenyataan itu.
MCMC berkata pengiktirafan itu membuktikan keupayaannya untuk membangunkan teknologi kawal selia tempatan yang berimpak tinggi, di samping memperkukuh komitmennya terhadap inovasi, pembangunan bakat dalaman dan kawal selia berasaskan data dalam memajukan ekosistem digital Malaysia.
Orang ramai boleh merasai pengalaman menggunakan MCMC NEXUS dengan memuat turun aplikasi tersebut melalui Apple App Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery.
Anugerah Kecemerlangan Teknologi Malaysia oleh Asian Business Review itu mengiktiraf organisasi yang menerajui inovasi teknologi dan transformasi digital dalam memacu ekonomi Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial