Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Jentera Bomba Klasik Lebih 100 Tahun Antara Tarikan PMR 2026 Perak

03/04/2026 04:00 PM

IPOH, 3 April (Bernama) -- Jentera bomba klasik jenis Dennis Fire Engine keluaran British dianggarkan berusia hampir satu abad antara tarikan utama pada Program MADANI Rakyat (PMR) 2026 di Bulatan Sultan Azlan Shah, di sini.

Penguasa Bomba Kanan II Bahagian Keselamatan Kebakaran, Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Md Taufik Asyarun Zainuddin berkata jentera vintaj itu digunakan pada akhir 1930-an hingga 1950-an. 

“Jentera ini bukan sekadar aset klasik tetapi mempunyai nilai sejarah yang tinggi kerana antara jentera terawal digunakan dalam perkhidmatan bomba, khususnya pada era sebelum penggunaan teknologi moden secara meluas.

Ad Banner
Ad Banner

“Jentera ini disimpan di Bahagian Kejuruteraan JBPM di Salak Tinggi, Selangor yang bertanggungjawab mengurus penyelenggaraan serta memastikan keadaannya sentiasa terpelihara mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Md Taufik Asyarun berkata berkata jentera itu masih boleh bergerak bagi jarak dekat selain turut dilengkapi dengan pelbagai peralatan asas operasi pemadaman kebakaran.

“Dengan reka bentuk gril hadapan yang tegak dan memanjang, lencana Dennis yang jelas pada bahagian depan serta lampu bulat klasik menonjolkan identiti tersendiri.

“Turut melengkapkan ciri klasiknya ialah loceng tradisional yang dahulu digunakan sebagai isyarat kecemasan sekali gus menambah elemen nostalgia kepada pengunjung,” katanya.

Md Taufik Asyarun berkata penyertaan Dennis Fire Engine dalam PMR 2026 memberikan peluang unik kepada orang ramai untuk memahami evolusi jentera bomba dari era klasik ke era moden.

Selain itu, beliau berkata pengunjung dibenarkan menaiki jentera dan duduk di tempat pemandu bagi merasai pengalaman memegang stereng jentera klasik itu.

Selain jentera klasik, Md Taufik Asyarun berkata JBPM turut mempamerkan pelbagai jentera moden dan peralatan terkini operasi pemadaman kebakaran dan penyelamatan.

Ia termasuk jentera baharu dengan teknologi canggih, unit respons awal bermotosikal serta peralatan penyelamatan lengkap yang mampu digunakan dalam pelbagai situasi kecemasan. 

Beliau berkata orang ramai tidak seharusnya melepaskan peluang hadir di PMR yang berlangsung hingga Ahad ini kerana memberi pengalaman interaktif serta mendidik masyarakat mengenai fungsi dan kepentingan sesebuah agensi atau kementerian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan