KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mewujudkan Pusat Mediasi Malaysia (MMC) di bawah Jabatan Bantuan Guaman bagi memperkasa penyelesaian pertikaian di luar mahkamah, sekali gus mengurangkan lambakan kes dan kos guaman tinggi yang ditanggung rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata inisiatif itu bertujuan menyelaraskan sistem mediasi (pengantaraan) yang kini ditadbir secara berasingan oleh pelbagai kementerian dan agensi menerusi tribunal masing-masing.
Beliau berkata Kertas Kabinet akan dikemukakan dalam masa terdekat bagi mendapatkan persetujuan Jemaah Menteri untuk mewujudkan sistem yang lebih teratur, merangkumi aspek pendaftaran pengantara serta modul latihan yang seragam di bawah Akademi Perundangan Malaysia, Bahagian Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU).
"Kelebihan mediator ini adalah kosnya lebih rendah berbanding proses mahkamah. Dalam Islam, ia menyerupai konsep 'sulh' iaitu pendamaian atau perantaraan.
"Ini yang kita mahu galakkan supaya pertikaian dapat diselesaikan di premis ini (MMC) terlebih dahulu sebelum dibawa ke mahkamah," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada persidangan Persatuan Pendidikan Undang-Undang Komanwel (CLEA) di Hotel Shangri-La di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Azalina berkata bukan semua individu berkemampuan untuk memulakan proses litigasi atau mendapatkan khidmat nasihat guaman yang mahal.
“Tak semua orang boleh pergi mahkamah, pergi minta jumpa peguam untuk dapat nasihat dan tak semua orang boleh dapat surat amaran daripada peguam. Saya rasa Surat Tuntutan (LOD) itu lebih kurang RM300-RM500 daripada syarikat guaman, memang mahal.
“Tidak semua layak mendapat bantuan guaman seperti B40. Jadi isu golongan M40 ini berada di tengah-tengah, contohnya anak muda berniaga, mempunyai ijazah, bukan dalam kategori bantuan guaman tapi dia juga bukan dalam kategori berkemampuan untuk mendapat khidmat nasihat peguam, kosnya tinggi,” tambahnya.
Mengenai pelaksanaan MMC, beliau berkata pusat tersebut dicadangkan beroperasi di Kuala Lumpur dan Putrajaya, namun proses mediasi juga boleh dijalankan secara dalam talian bagi menjimatkan kos logistik.
Azalina berkata langkah itu juga merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menambah baik akses kepada keadilan selari dengan cabaran ekonomi semasa.
"Pergi ke mahkamah juga melibatkan kos lain seperti logistik, bahan api dan pengurusan. Jadi, struktur ini perlu diubah supaya kita dapat memberi bantuan bukan sahaja kepada B40, malah melihat kepada keperluan M40," katanya.
Beliau berkata, khidmat hakim serta pegawai kerajaan yang berpencen boleh dimanfaatkan sebagai pengantara memandangkan mereka mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dalam bidang perundangan.
Dalam pada itu, Azalina dalam ucapannya berkata Mahkamah Timbang Tara Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) akan melaksanakan mediasi Komersial Pro Bono bagi membantu penyelesaian pertikaian melibatkan tuntutan hingga RM250,000.
Beliau berkata inisiatif itu dijangka diperkukuh melalui sokongan panel perantara bebas yang berdedikasi, dengan tumpuan kepada penyelesaian secara harmoni dan berkesan bagi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara secara berterusan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial