SHAH ALAM, 2 April (Bernama) -- Beberapa agensi hal ehwal agama bekerjasama menyalurkan pelbagai bentuk bantuan dan sokongan kepada balu Allahyarham Amirul Hafiz Omar, 33, yang maut dirempuh pemandu di bawah pengaruh dadah di Klang, Ahad lepas.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan berkata bantuan kepada Nor Nadia Abdul Majid, 32, itu melibatkan sumbangan daripada Tabung Haji (TH), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan TV Al-Hijrah bagi meringankan beban keluarga.
“TH membantu membuka akaun simpanan untuk anak-anak Allahyarham, manakala komuniti Surau TH turut menyumbang RM2,000. YAPEIM pula menaja kos persekolahan tiga anak Allahyarham selama setahun melalui Program Sinar Kasih dengan jumlah keseluruhan RM7,200.
“TV Al-Hijrah menyalurkan RM5,000 hasil sumbangan penonton dan agensi itu sendiri bagi menyokong pendidikan serta keperluan harian, manakala YADIM menyumbang bantuan tunai RM1,000,” katanya pada sidang media selepas menziarahi keluarga mangsa di Pangsapuri Ken Rimba, Seksyen 16, di sini hari ini.
Zulkifli berkata bantuan itu bukan bersifat sekali sahaja, sebaliknya bertujuan memastikan kesejahteraan anak-anak mangsa merangkumi aspek pendidikan, psikologi dan perkembangan rohani.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta jabatan agama negeri juga bersedia menyediakan khidmat kaunseling dan bimbingan agama kepada keluarga bagi membantu mereka mengatasi trauma akibat kehilangan insan tersayang.
Sementara itu, Nor Nadia menzahirkan penghargaan atas bantuan dan sokongan yang diterima selain merancang untuk menumpukan kepada masa depan anak-anak serta memulakan perniagaan sendiri.
Kehilangan suami mendorong dia untuk lebih berdikari, memastikan keselamatan anak-anak serta mencari sumber pendapatan yang stabil, selaras dengan perancangan yang telah disediakan oleh Allahyarham.
Nor Nadia berkata suaminya meninggalkan dokumen lengkap merangkumi urusan rumah, insurans dan perancangan kewangan, sekali gus memudahkan pengurusan keluarga serta memberi keyakinan untuk meneruskan kehidupan.
“Arwah selalu berpesan, jika berlaku sesuatu, saya perlu pulang ke kampung di Perak bersama anak-anak. Semua persiapan telah dibuat, jadi saya berasa sedikit lega,” katanya.
Semalam, Bernama melaporkan seorang pembantu makmal yang dipercayai memandu di bawah pengaruh dadah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang atas pertuduhan membunuh Allahyarham Amirul Hafiz dalam kejadian Ahad lepas.
Sementara itu, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dalam kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya menyumbangkan RM3,000 bagi membantu meringankan beban keluarga Allahyarham.
Setiausahanya Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata sumbangan itu meliputi peruntukan daripada sumber Baitulmal MAIS, Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), iaitu agensi di bawah MAIS.
“Selain sumbangan berbentuk tunai, bantuan makanan asas turut disampaikan kepada keluarga mangsa.
“LZS turut membuat bancian asnaf kepada keluarga ini bagi menentukan kelayakan menerima bantuan sebagai asnaf zakat, dan sekiranya layak bantuan seterusnya yang bersesuaian akan disalurkan bergantung kepada keperluan keluarga ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial