Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Negara Kini Dalam Mod Kesiapsiagaan Krisis, Jangan Tuding Jari Isu Bahan Api - Ahmad Zahid

02/04/2026 03:08 PM

PUTRAJAYA, 2 April (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata negara kini berada dalam mod kesiapsiagaan krisis susulan ketidaktentuan global yang menjejaskan harga bahan api.

Justeru, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah meminta semua pihak untuk tidak menuding jari kepada kerajaan berhubung kenaikan harga bahan api, sebaliknya bersama-sama mencari jalan penyelesaian.

Beliau berkata situasi semasa berpunca daripada krisis global dan memerlukan kerjasama semua pihak untuk menanganinya secara bersama.

Ad Banner
Ad Banner

"Kita jangan berasa selesa dan jangan hanya menuding jari kepada pihak kerajaan terutama kepada Perdana Menteri. Hakikatnya ialah kerana krisis global yang harus kita sama-sama hadapi," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), di sini hari ini.

Mengenai tindakan pembangkan terus memainkan isu kenaikan harga bahan api sebagai modal politik, Presiden UMNO itu berkata perkara berkenaan adalah tidak wajar memandangkan situasi semasa adalah kesan langsung daripada perkembangan geopolitik antarabangsa.

"Cubalah mereka (pembangkang) pergi ke Selat Hormuz sekarang atau cubalah mereka pergi ke negara Asia Barat, (biar) mereka lihat sendiri.

"Kita bernasib baik sebenarnya...jadi jangan asyik menggunakan masalah global ini sebagai satu kesalahan pihak kerajaan. Ini hakikat yang harus kita terima," katanya.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dijadual mengadakan pertemuan dengan semua Menteri Besar dan Ketua Menteri petang ini, bagi menjelaskan situasi semasa serta memastikan kerajaan negeri memahami cabaran dihadapi negara susulan krisis global.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan