Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Akta Pekerja Gig 2025 Satu Perkembangan Penting, Pelaksanaan Perlu Berkesan - UNI-MLC

01/04/2026 07:52 PM

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Penguatkuasaan Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) perlu disusuli dengan perlaksanaan, libat urus berterusan dan bermakna bersama pihak berkepentingan, khususnya wakil pekerja dan kesatuan sekerja bagi memastikan reformasi perlindungan pekerja di Malaysia lebih berkesan.

Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan meskipun akta itu disifatkan sebagai satu perkembangan penting untuk memastikan pekerja gig mendapat perlindungan undang-undang, kejayaannya bergantung kepada pelaksanaan yang berkesan, komitmen semua pihak serta keterlibatan aktif pekerja dalam proses perundingan dan penambahbaikan dasar.

UNI-MLC memaklumkan akta itu sememangnya menyediakan asas perlindungan yang amat diperlukan termasuk ketelusan dalam perjanjian perkhidmatan, kepastian terhadap kadar bayaran serta akses kepada mekanisme penyelesaian pertikaian melalui Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia dan Tribunal Pekerja Gig.

Ad Banner
Ad Banner

“Penetapan kadar pendapatan minimum perlu dilaksanakan secara telus, berasaskan kos sara hidup semasa serta mengambil kira realiti dan risiko pekerjaan gig.

“Dalam masa yang sama, aspek penguatkuasaan oleh agensi berkaitan seperti Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan serta PERKESO hendaklah dilaksanakan secara konsisten, telus dan berintegriti bagi memastikan pematuhan sebenar di peringkat lapangan,” menurut kenyataan itu.

Akta 872, yang berkuat kuasa secara rasmi semalam, memberi manfaat kepada kira-kira 1.64 juta pekerja sektor ekonomi gig di Malaysia menerusi ketelusan perjanjian perkhidmatan, kadar pendapatan yang dipersetujui, larangan diskriminasi, perlindungan keselamatan sosial melalui PERKESO serta perlindungan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa kepentingan kesedaran dalam kalangan pekerja gig dan penyedia platform, pelaksanaan yang berterusan serta penguatkuasaan yang konsisten adalah amat kritikal bagi memastikan objektif akta ini benar-benar tercapai.

 Menurut UNI-MLC, skop perlindungan perlu diperluas melangkaui aspek keselamatan sosial semata-mata dalam konteks realiti pekerjaan gig masa kini.

“Terdapat kategori pekerja gig seperti penjaga kanak-kanak, tukang urut serta penyedia perkhidmatan penjagaan dan kesihatan yang menggunakan platform digital, terdedah kepada risiko keselamatan lebih tinggi termasuk gangguan seksual, ancaman keselamatan fizikal serta penipuan.

“Perlindungan di bawah akta ini perlu turut mengambil kira dimensi hak asasi manusia termasuk perlindungan daripada diskriminasi, gangguan, eksploitasi serta jaminan keselamatan semasa menjalankan perkhidmatan menerusi mekanisme perlindungan yang lebih komprehensif, termasuk garis panduan keselamatan, sistem pengesahan pelanggan, serta saluran aduan yang responsif dan berkesan,” katanya.

Pada masa sama, UNI-MLC menyambut baik pendekatan tiga pihak melalui penubuhan Majlis Perundingan Gig yang menghimpunkan wakil kerajaan, pekerja dan entiti kontrak bagi membincangkan perkara berkaitan kadar pendapatan minimum, standard kerja serta dasar berkaitan sektor gig.

Menurut kenyataan itu, penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) juga dilihat sebagai langkah strategik bagi memastikan tadbir urus sektor ini dilaksanakan secara lebih tersusun, menyeluruh dan berkesan.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan