PUTRAJAYA, 31 Mac (Bernama) -- Pendekatan berorientasikan misi, kerjasama rentas sektor yang lebih kukuh dan perubahan penetapan minda penting untuk menangani kelemahan dalam ekosistem inovasi Malaysia dan memastikan penyelidikan memberikan impak sebenar kepada ekonomi dan masyarakat.
Isu ini diketengahkan semasa sesi dialog ‘Convosphere: Signal in the Noise’ yang dianjurkan oleh Akademi Sains Malaysia (ASM) bertemakan “Overcoming the Messy Middle of Innovation.” (Menangani Kegalauan Inovasi).
Presiden ASM dan Penasihat Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) kepada Perdana Menteri dan Negara, Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen berkata sistem inovasi Malaysia sebahagian besarnya masih dipacu oleh penawaran, dengan penekanan utama terhadap output penyelidikan seperti penerbitan dan kurangnya tumpuan terhadap pengguna akhir, permintaan pasaran dan pengkomersialan.
Beliau menyifatkan situasi itu sebagai "halangan" antara pengeluar dan pengguna, sambil menyatakan bahawa kedua-dua pihak sering bertindak secara berasingan dengan keutamaan yang berbeza.
"Perniagaan biasanya membicarakan tentang keuntungan, manakala penyelidik menekankan output intelektual. Apabila kedua-dua pihak ini tidak saling berkomunikasi antara satu sama lain, sistem inovasi tidak akan berfungsi," katanya semasa pembentangannya pada sesi tersebut, di sini, hari ini.
Tengku Mohd Azzman berkata Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi pesat sejak dua dekad lepas, tetapi kemajuan dalam kesejahteraan sosial, kemampanan alam sekitar dan ekosistem STI tidak banyak berubah.
Beliau berkata daya saing jangka panjang semakin bergantung pada Produktiviti Faktor Keseluruhan (TFP), yang mencerminkan kecekapan didorong oleh inovasi dan bukannya buruh atau modal semata-mata.
Pada masa ini, katanya, pertumbuhan ekonomi Malaysia masih banyak bergantung kepada buruh dan modal, manakala TFP kekal rendah berbanding ekonomi maju, yang mana produktiviti didorong oleh inovasi yang menyumbang sebahagian besar kepada pertumbuhan.
"Selama lebih 40 tahun, kita telah cuba melangkaui tahap pendapatan sederhana. Faktor pemacu utama bukanlah lebih banyak tenaga kerja atau lebih banyak modal, tetapi produktiviti yang lebih kukuh melalui inovasi," katanya.
Bagi menangani cabaran ini, Tengku Mohd Azzman berkata ASM telah mencadangkan pengukuhan Majlis Sains Negara, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk menyelaras inisiatif negara berorientasikan misi melalui pendekatan seluruh kerajaan.
Beliau berkata model berorientasikan misi itu memberi tumpuan kepada menangani cabaran utama negara dengan menyelaraskan agensi kerajaan, industri dan masyarakat dengan tindakan bersasar yang bermatlamat jelas.
Sementara itu, Felo Penyelidik Kanan di Institut Dasar Sains dan Teknologi (STEPI), Dr Byeongwon Park, berkata walaupun Korea Selatan dianggap sebagai model yang berjaya dalam inovasi dan pembangunan perindustrian, kemajuannya dicapai melalui pelaburan berterusan, tadbir urus yang kukuh dan penyelarasan antara kementerian selama beberapa dekad.
Beliau berkata pendekatan Korea Selatan menunjukkan bahawa usaha mengubah ekosistem inovasi merupakan satu langkah jangka panjang yang memerlukan perancangan strategik, penjajaran institusi dan pelaksanaan dasar yang konsisten.
Park berkata Korea Selatan juga banyak melabur dalam program penyelidikan dan pembangunan (R&D) jangka panjang yang bertujuan untuk memacu produktiviti ekonomi, mencipta pekerjaan dan pembangunan industri baharu, disokong oleh pembiayaan yang berterusan dan sasaran prestasi jelas.
Beliau berkata Malaysia, yang agak lewat memasuki sektor teknologi tinggi tertentu, akan mendapat manfaat dengan mengkaji kejayaan negara seperti Korea Selatan dalam mereka bentuk dasar inovasi dan perindustriannya sendiri.
Seorang lagi ahli panel pembentang, pengarah kanan Unit Pengurusan Pelaksanaan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Aedreena Reeza Alwi berkata pemilikan, kapasiti pelaksanaan, penyelarasan antara kementerian dan pembiayaan adalah antara cabaran paling biasa dalam usaha menterjemahkan dasar kepada hasil.
Beliau berkata kementerian sering berdepan kesukaran untuk menyelaraskan matlamat bersama apabila inisiatif tersebut berada di luar petunjuk prestasi utama sedia ada, sekali gus menyukarkan penyelarasan merentas agensi.
Bagi menangani perkara ini di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), beliau berkata MITI telah memperkenalkan mekanisme pembiayaan campuran dan pelaburan bersama yang melibatkan modal swasta, sambil menetapkan keutamaan berasaskan misi yang jelas mengenai kerumitan ekonomi, pendigitalan, penyahkarbonan dan keterangkuman.
"Kita mahu mempromosikan teknologi tempatan, bukan sekadar membeli lesen dari luar. Untuk mencapai sasaran itu, penyelidikan perlu memenuhi keperluan industri dan sesuai untuk kegunaan komersial," katanya.
Wakil industri Chan Kee Siak, yang juga pengasas dan ketua pegawai eksekutif Exabytes Group, berkata salah satu halangan terbesar kepada pengkomersialan bukan sahaja produk itu sendiri, tetapi juga memahami pengguna dan keperluan pasaran.
Beliau berkata banyak syarikat baharu dan inovator terlalu menumpukan perhatian kepada pembinaan produk atau menjalankan penyelidikan dan mengabaikan permintaan praktikal pelanggan serta keperluan untuk melakukan penambahbaikan secara berterusan dan berperingkat.
"Dalam dunia hari ini, daripada menunggu satu kejayaan besar datang, kita mungkin memerlukan kitaran pengujian, penyepaduan dan penambahbaikan yang lebih kecil dan pantas," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial