IPOH, 31 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak merampas450 kilogram (kg) minyak masak peket yang disyaki disimpan secara haram dalam satu serbuan di sebuah premis kediaman di Teluk Intan, semalam.
Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata operasi kira-kira 11 pagi itu dijalankan sepasukan pegawai penguat kuasa Cawangan Teluk Intan di bawah Ops Tiris, hasil risikan dan pemantauan selama seminggu bagi membanteras aktiviti penyelewengan di sekitar kawasan Daerah Hilir Perak dan Bagan Datuk.
“Ketika pemeriksaan dilakukan seorang lelaki warganegara Bangladesh berumur 36 tahun mengaku sebagai penyewa premis kediaman itu memaklumkan bahawa minyak masak peket yang ditemuakan adalah untuk dijual semula kepada pelanggan di kawasan sekitar, termasuk penghuni rumah kongsi di kawasan pembinaan.
“Warga asing tersebut didapati gagal mengemukakan sebarang permit, lesen atau kebenaran daripada Pengawal Bekalan untuk memiliki dan berurusan dengan barang kawalan minyak masak peket yang ditemukan di premisnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata susulan itu pihaknya telah menyita 450kg minyak masak peket 1kg, sebuah kenderaan 4x4, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan dokumen berkaitan dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM55,125.
“Seorang Orang Kena Tahan (OKT) telah ditangkap dan direman di mahkamah Teluk Intan hari ini selama empat hari untuk siasatan lanjut serta pertuduhan,” katanya.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual tanpa kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial