Ad Banner
 AM > BERITA

NRES Sedia Laksana Langkah Intervensi Tangani Impak Cuaca Panas Berpanjangan

30/03/2026 03:33 PM

SHAH ALAM, 30 Mac (Bernama) -- Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bersedia melaksanakan langkah intervensi termasuk pembenihan awan, bagi menangani kesan cuaca panas yang kini melanda beberapa negeri di seluruh negara.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata tindakan berkenaan akan dilaksanakan mengikut keperluan semasa, berpandukan data serta laporan teknikal daripada agensi berkaitan bagi memastikan impak fenomena cuaca dapat dikawal, khususnya terhadap sektor seperti pertanian.

“Sekiranya perlu kita akan melaksanakan intervensi seperti pembenihan awan berdasarkan data yang diperoleh bagi memastikan tindakan diambil secara tepat dan berkesan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Forest Conservation Certificate (FCC) As Malaysia’s Trusted Platform For Conservation Finance di sini hari ini. 

Ad Banner
Ad Banner

Arthur berkata Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) akan terus memainkan peranan penting dalam menyediakan maklumat cuaca yang tepat bagi menyokong tindakan susulan, sekali gus membantu agensi berkaitan serta orang awam membuat persediaan sewajarnya.

“Lebih-lebih lagi sekarang dalam keadaan ketidaktentuan iklim yang semakin berubah kita mempunyai peranan penting untuk memberi amaran awal khususnya kepada jabatan berkaitan seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Pertanian supaya mereka boleh buat persediaan yang diperlukan,” katanya. 

Sebelum ini, menurut MetMalaysia fenomena cuaca panas yang sedang melanda negara ketika ini dijangka berterusan hingga awal Monsun Barat Daya (MBD) pada Jun, susulan keadaan atmosfera lebih kering dan taburan hujan rendah.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan