BACHOK, 29 Mac (Bernama) -- Bekas anggota Pasukan Polis Hutan (PPH) Mohd Yusof Shaharun, 77, masih belum dapat melupakan tindakan pengganas komunis menikam berkali-kali pada bahagian dada seorang anggota berpangkat sarjan sehingga maut ketika Operasi Gubir dekat Empangan Pedu pada 16 Mei 1972.
Mohd Yusof yang terselamat dalam serangan hendap sekumpulan komunis itu menceritakan detik cemas berkenaan ketika Lawatan Prihatin sempena Hari Polis ke-219 oleh Ketua Polis Daerah Bachok Superintendent Mohamad Ismail Jamaluddin bersama pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok hari ini.
Beliau berkata anggota berkenaan (gagal mengingati namanya) ketika kejadian sudah mengalami kecederaan akibat tembakan, namun tetap melawan sehingga mencetuskan kemarahan pihak komunis sebelum mati ditikam dan ditembak.
Anggota PPH, yang kini dikenali sebagai Pasukan Gerakan Am (PGA) itu berkata beliau yang terkena tiga das tembakan pada bahagian paha, tangan dan sisi kepala bagaimanapun tidak dapat berbuat apa-apa pada ketika itu kerana gagal mencapai senjata yang dibawanya.
“Sebelum kejadian saya sudah berasa tidak sedap hati kerana terpaksa bertukar kenderaan beberapa kali untuk meneruskan perjalanan.
“Ketika melalui satu kawasan berbukit, tiba-tiba komunis melemparkan bom tangan disusuli dengan tembakan bertubi-tubi. Dalam suasana kelam kabut itu saya terjatuh dan cuba mengambil senjata, namun gagal kerana badan tidak dapat digerakkan selepas terkena tembakan,” katanya ketika ditemui di rumahnya dekat Kampung Kubang Kawah, Perupok di sini.
Mohd Yusof berkata selepas cedera, pihak komunis mengambil peluru daripada badannya kerana menyangka beliau telah meninggal dunia.
Beliau yang berpangkat konstabel dan bertugas bersama Kompeni B Batalion 11 ketika itu berkata dua lagi rakan sepasukan termasuk pemandu trak maut apabila terkena letupan bom tangan dan tembakan bertubi-tubi pihak komunis.
“Kumpulan komunis menggunakan senjata M13 manakala pasukan keselamatan menggunakan raifal SLR dalam operasi berkenaan,” katanya, yang bersara pada 1987 dengan pangkat lans koperal di IPD Pasir Mas.
Beliau berkata kejadian itu masih diingati dan menjadi sebahagian daripada pengalaman sepanjang perkhidmatan dalam pasukan keselamatan, apatah lagi sebutir peluru komunis masih tertanam pada bahagian pahanya sehingga kini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial