Ad Banner
 AM > BERITA

Taklimat Khas PM Langkah Proaktif Hadapi Kesan Krisis Asia Barat

28/03/2026 04:47 PM

TANJUNG MALIM, 28 Mac (Bernama) -- Inisiatif Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengadakan pertemuan dengan Premier serta semua Menteri Besar dan Ketua Menteri bagi membincangkan perkembangan ekonomi negara disifatkan sebagai langkah proaktif dalam menghadapi krisis Asia Barat. 

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pendekatan itu penting dan dapat memastikan setiap pandangan di peringkat negeri diambil kira dalam merangka strategi mendepani cabaran ekonomi global yang semakin kompleks.

“Ini bukan masa untuk menuding jari, siapa mentadbir, mereka akan hadapi masalah (cabaran) sama, jadi kita perlu hadapinya bersama-sama,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Rumah Perakku Kota Malim Prima di sini hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Semalam, Anwar berkata kerajaan bercadang menghimpunkan kepimpinan tertinggi pentadbiran setiap negeri, termasuk pimpinan parti politik, dalam taklimat khas yang dijangka diadakan minggu depan.

Perdana Menteri berkata taklimat yang akan disampaikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) itu bertujuan membincangkan langkah bersama bagi menjamin kemampanan ekonomi serta keselamatan negara susulan ketidaktentuan situasi di Asia Barat.

Pada masa sama, Saarani berkata kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan negeri amat diperlukan supaya setiap keputusan yang dibuat lebih menyeluruh serta memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

Sementara itu, di GERIK, Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pihaknya akan mengemukakan beberapa cadangan dalam pertemuan tersebut, khususnya melibatkan langkah segera menangani tekanan kos sara hidup yang dirasai rakyat.

"Oleh sebab itu, saya katakan platform (taklimat khas) minggu depan adalah yang terbaik dalam kita menyuarakan apa sahaja yang menjadi keutamaan kepada rakyat," katanya ketika ditemui pemberita di Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor Datuk Salbiah Mohamed di Arena Gerik. 

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) berkata dengan situasi semasa yang dipengaruhi oleh cabaran global serta ketidaktentuan konflik antarabangsa, kerajaan perlu memberi keutamaan kepada aspek kebajikan dan kesejahteraan rakyat dalam setiap perancangan dan tindakan.

Mengulas gesaan pembangkang agar kerajaan memanggil Sidang Khas Dewan Rakyat, Asyraf Wajdi berkata keutamaan ketika ini adalah tindakan eksekutif yang pantas, bukannya sekadar perdebatan di Parlimen.

Semalam, media melaporkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata permohonan mengadakan Sidang Khas Dewan Rakyat telah disampaikan menerusi surat rasmi kepada Perdana Menteri mengikut Perkara 11(3) Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan