KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) akan dipasang di kawasan sekitar Persiaran Menara Berkembar Petronas (KLCC), Jalan Ampang di sini bagi memerangi sindiket jurugambar tidak berlesen atau “ulat foto” dalam masa terdekat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan KLCC Property Holdings Berhad dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menambah bilangan CCTV di kawasan yang menjadi tumpuan pelancong tempatan dan asing itu.
“CCTV adalah di bawah pengurusan KLCC. Saya akan bincang dengan mereka bersama DBKL untuk lihat bagaimana kita boleh pasang lebih banyak CCTV di luar supaya kita boleh mengenal pasti muka-muka yang melaksanakan kegiatan perniagaan seperti ini tanpa kebenaran,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas isu 18 jurugambar tidak berlesen disyaki menyerang seorang lelaki yang cuba meleraikan pergaduhan antara kumpulan itu dengan seorang pelancong asing di Persiaran KLCC, Ahad lepas.
Hannah berkata beliau juga mahu anggota polis dan pegawai penguat kuasa DBKL melakukan rondaan lebih kerap bagi membendung isu tersebut daripada terus berlarutan.
“Kita tidak mahu melihat pelancong dan rakyat Malaysia dibuli kerana ia juga memburukkan nama negara. Pergaduhan seperti itu tak sepatutnya berlaku dan siasatan sedang dijalankan oleh pihak polis. Saya minta polis ambil tindakan,” katanya.
Semalam, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sazalee Adam memaklumkan sebanyak 18 jurugambar tidak berlesen berusia lingkungan 17 hingga 45 tahun ditahan di pekarangan KLCC untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, Hannah berkata DBKL telah membuat laporan polis berhubung isu ahli Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) yang didakwa meminta wang daripada sebuah pusat urut, dipercayai berlaku di Wangsa Maju.
“Tiada sebab mengapa ahli MPPWP perlu turun ke lapangan kerana itu adalah bidang kuasa DBKL. (Peranan) MPPWP adalah mendengar aduan dan membawa aduan itu kepada DBKL, mereka bukan penguat kuasa. Itu adalah jelas,” katanya yang juga Ahli Parlimen Segambut.
Baru-baru ini, tular rakaman CCTV sebuah pusat urut yang memaparkan kehadiran dua lelaki memperkenalkan diri dengan mendakwa sebagai ahli MPPWP sebelum meminta wang untuk mengelakkan premis tersebut ditutup, kononnya terdapat aduan daripada penduduk.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial