Ad Banner
 AM > BERITA

Pesara Tentera Raih Pendapatan Empat Angka Ternak Ayam Penelur Di Rumah

28/03/2026 10:47 AM

Oleh Fadzlina Abu Bakar Sidek

LUMUT, 28 Mac (Bernama) -- Ketika ada yang merungut atau merintih dek kesukaran hidup, seorang pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memilih untuk mengubah kedudukan ekonomi keluarganya dengan menternak ayam penelur.

Hamdan Ahmad Sapli, 58, membuktikan langkah kecilnya dengan memanfaatkan kawasan sekeliling rumahnya di Batu 10, Lekir, di sini berjaya menjana pendapatan hingga RM6,000 sebulan.

Ad Banner
Ad Banner

"Kita perlu berani memulakan langkah kecil dari rumah. Kalau ada ruang walaupun kecil, jangan biar kosong. Usaha dulu, biarpun hanya lima ekor ayam, jangan asyik merungut. Kita sendiri kena ubah keadaan," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Anak kelahiran Parit itu memulakan penternakan ayam penelur pada April 2022 semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan COVID-19.

Bapa kepada lima cahaya mata itu berkata idea berkenaan tercetus selepas melihat isu kekurangan bekalan telur ayam di beberapa negeri yang mengehadkan pembelian lima biji telur sahaja bagi setiap keluarga semasa tempoh PKP.

"Dari situ saya berbincang dengan anak untuk cuba bela ayam penelur sebagai langkah keselamatan makanan keluarga. Saya belajar cara-cara untuk menternak ayam penelur melalui YouTube.

“Saya mula menternak 30 ekor ayam penelur yang dibeli pada harga RM7 seekor dan ayam mula bertelur pada Ogos 2022," katanya.

Kini, pesara tentera itu memiliki lebih 60 ekor ayam penelur dewasa jenis Australorp, White Leghorn, Coral dan Lohman Brown yang mampu menghasilkan 30 biji telur sehari, dengan setiap telur dijual pada harga RM0.60 sebiji.

Hamdan berkata ayam penelur dipilih kerana tidak memerlukan kawasan yang luas selain kos penyelenggaraan yang tidak terlampau tinggi berbanding ternakan lain.

"Ayam penelur hanya makan dedak kira-kira 110 hingga 120 gram untuk dua kali sehari dengan kandungan protein sebanyak 16 peratus. Saya berikan dedak dalam kuantiti yang banyak pada sebelah petang kerana pembentukan telur berlaku pada waktu malam, ayam itu tidur dan akan bertelur keesokan pagi,” katanya.

Apa yang menarik, reban ayamnya dibina menggunakan konsep sistem pertanian bersepadu, dengan najis ayam terus jatuh ke dalam kolam ikan keli di bawah reban, sekali gus mengurangkan bau dan kehadiran lalat, selain ikan keli turut dijadikan sumber protein tambahan dalam pembuatan dedak ayam.

Selain ayam penelur, Hamdan turut mengusahakan kebun sayur dengan pelbagai jenis tanaman seperti kangkung, kacang panjang, sawi, bayam Brazil, pak choy, halia, kunyit, serai dan daun pandan selain menternak madu kelulut dan melakukan proses menuai madu setiap dua bulan.

Hamdan berkata pendekatan itu selari dengan saranan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad yang sebelum ini menggalakkan rakyat mengamalkan konsep keterjaminan bekalan makanan, yang turut terkandung dalam Pelan Perak Sejahtera 2030.

Hasil seperti sayur, ikan dan telur akan dijual kepada pelanggan tetap serta pengunjung yang datang ke kebunnya setiap hari, dan pernah menerima pengunjung dari Amerika Syarikat dan Indonesia selepas kisahnya tular dalam media sosial.

Bagi berkongsi ilmu terutama dengan golongan B40, Hamdan turut menawarkan kursus ayam penelur dan pertanian bandar, dengan setiap peserta hanya dikenakan bayaran bermula RM50 hingga RM100, malah peserta dari Brunei, Singapura, dan Indonesia turut menyertai kursus yang diadakannya secara dalam talian.

Setakat ini, jumlah peserta kursusnya mencecah 6,000 orang sejak mula dilaksanakan pada 2023.

“Bagi pelajar sekolah yang mengadakan lawatan untuk melihat ayam penelur serta kebun sayurnya, Hamdan tidak mengenakan sebarang bayaran sebagai usaha mendidik generasi muda tentang kepentingan pertanian dan sekuriti makanan,” katanya yang turut mendapat pelbagai bantuan serta sokongan daripada agensi dan jabatan kerajaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan