Oleh Shuhaida Mohd Said
ALOR SETAR, 27 Mac (Bernama) -- Dilahirkan tidak sempurna tanpa jari bukan penghalang bagi Mohd Rahmat Abd Somat malah kekurangan itu menjadi pemangkin kepada kekuatan luar biasa yang membentuk dirinya hari ini.
Dalam dunia yang sering melihat kekurangan sebagai batas, mekanik berusia 37 tahun itu membuktikan sebaliknya, iaitu tekad dan usaha mampu mengatasi segala keterbatasan fizikal.
Anak jati Kampung Tanjung Musang, Langgar di sini, kudung dari bahagian pergelangan tangan namun keadaan itu tidak pernah mematahkan semangatnya untuk berdikari dan mencari rezeki sendiri.
Lelaki orang kurang upaya (OKU) yang mesra disapa Rahmat itu gigih membina kemahiran hingga bergelar mekanik dan berjaya membuka bengkel motosikal sendiri sejak 2008.
Menurut Rahmat, ketelitian serta teknik tersendiri digunakan untuk memasang komponen dan memutar skru, selain bantuan pelbagai mesin di bengkel yang diusahakan di kediamannya, menjadikan khidmatnya kini mendapat kepercayaa pelanggan cari pelbagai negeri.
Rahmat berkata walaupun kebanyakan kerja pembaikan dilakukannya sendiri, namun bagi tugasan rumit, dia akan mendapatkan bantuan daripada abangnya.
“Saya buat kerja dengan teliti...kudung tanpa jari pun boleh buat kerja. Pelanggan datang sebab percaya dengan hasil kerja saya, bukan sebab simpati. Saya bersyukur dengan kelebihan yang Allah beri,” katanya kepada Bernama.
Bapa kepada seorang anak itu berkata bengkel berkenaan diusahakan menggunakan wang simpanannya sejak zaman persekolahan selain bantuan keluarga serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Sebagai permulaan, lulusan diploma Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu memberitahu dia membeli mesin serta peralatan terpakai daripada kilang pada harga jauh lebih rendah.
Kini, walaupun kekurangan fizikal namun dia berbangga kerana mampu menyara keluarga tanpa bergantung kepada bantuan semata-mata dan baginya, kehidupan menuntut usaha berterusan dan keyakinan terhadap kemampuan diri.
Sementara itu, ibunya, Sofiah Mohamad, 71, menyatakan rasa bangga dengan semangat dipamerkan anak bongsu daripada lima beradik itu, yang sentiasa berfikiran positif dan enggan menyusahkan sesiapa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial