Ad Banner
 AM > BERITA

Sapaan Tengku Ampuan Pahang Detik Bermakna Usahawan Kraftangan Iban

25/03/2026 02:39 PM

Oleh Zaphne Philip

KUCHING, 25 Mac (Bernama) -- Sapaan ringkas “Hi Helena” daripada Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ketika berkenan mencemar duli menghadiri Festival Kraf Borneo Sarawak 2025, di sini, menjadi detik paling bermakna dalam perjalanan seorang usahawan kraftangan tempatan.

Helena David Kalum, 54, anak jati Iban dari Betong berkata sapaan itu bukan teguran biasa, tetapi satu penghargaan bermakna bagi perjalanan panjangnya dalam dunia seni kraf yang bermula secara tidak sengaja.

Ad Banner
Ad Banner

“Masa disapa Tengku Ampuan Pahang saya memang terkejut, tapi pada masa sama rasa sangat bangga. Tidak sangka baginda masih ingat dengan saya yang pernah mengikuti baginda serta mengajar anakanda baginda, Puteri Tengku Jihan Azizah Athiyatullah membuat kraf manik semasa London Craft Week 2023,” katanya kepada Bernama ketika ditemui, baru-baru ini.

Helena tidak menyangka minat yang dimulakan pada 2015 melalui kursus seramik semata-mata untuk mengisi masa lapang, akhirnya menjadi titik permulaan kepada perniagaan krafnya.

 “Dulu saya hanya cuba-cuba sebab bosan, tapi bila nampak hasil, saya terus terfikir ini boleh jadi perniagaan. Saya kongsikan hasil kraf seramik saya di media sosial seperti Facebook dan sambutannya sangat memberangsangkan,” katanya.

Daripada situ, Helena melangkah lebih jauh dengan menyertai ekspo sebagai usahawan berdaftar, mendapat sokongan daripada pelbagai agensi termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) serta Perbadanan Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak.

Produk kraf utama dihasilkan Helena ialah pinggan seramik bermotif Sarawak kerana ia lebih dekat di hatinya selain mahu mengangkat seni kaum Iban yang semakin dilupakan, manakala produk sampingannya merangkumi manik serta pasu seramik.

Beliau berkata jualan pertamanya yang mencecah lebih RM1,000 telah menjadi titik tolak yang menyemarakkan semangatnya dan sejak itu peniagaannya terus berkembang hingga pernah mencatat jualan RM10,000 dalam sehari.

“Pinggan seramik bukan sekadar hiasan, tetapi mempunyai nilai sejarah yang tinggi dalam masyarakat Iban, termasuk digunakan dalam pelbagai upacara adat seperti miring dan perayaan Gawai.

 “Pada suatu ketika dahulu, pemilikan pinggan seramik buatan tangan juga melambangkan status kekayaan sesebuah keluarga di rumah panjang. Sekarang pinggan antik sangat sukar diperoleh,” katanya.

Menurut Helena, beliau mahu mengekalkan seni tersebut supaya generasi akan datang mengenali identiti kaum Iban walaupun prosesnya rumit dan memakan waktu.

Beliau berkata pinggan seramik yang dihasilkannya, khususnya corak antik Iban, mengambil masa hingga tujuh hari untuk disiapkan dan dijual pada harga antara RM150 hingga RM750.

“Setiap hasil kerja menampilkan motif tradisional seperti bunga terung, teku engkelait dan buah lelambak pecah lapan yang mencerminkan identiti masyarakat Iban,” katanya.

Selain menghasilkan produk, Helena turut aktif berkongsi ilmu dengan menjadi tenaga pengajar kepada pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) sejak 2019, di samping melatih komuniti luar bandar dalam pembuatan manik dan kraftangan tempatan.

Pengalaman beliau diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila dijemput ke London Craft Week 2023 untuk mengendalikan bengkel pembuatan manik, selain menjadi jemputan khas bersama rombongan Raja Permaisuri Agong pada ketika itu serta pernah mengajar Tengku Puteri Jihan dalam seni kraf tersebut.

Hasil seni Helena turut mendapat pengiktirafan apabila dijadikan cenderamata kepada Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta dijual di Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Singapura selain terpilih menghasilkan karya untuk menghiasi ruang ibu pejabat syarikat minyak gergasi Shell di Miri.

Kini, Helena mengusahakan reruai jualan Helena Craft Borneo di CityOne Megamall dengan produk utamanya pinggan seramik motif Sarawak, manik serta aksesori seperti rantai leher yang dihasilkan sepenuhnya secara buatan tangan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan