Oleh Erma Idayu Mohd Yusop
KEPALA BATAS, 25 Mac (Bernama) -- Gaya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah gagal mencuri tumpuan, bukan sahaja di pentas politik, malah dalam pemilihan busana, khususnya apabila lengkap berbaju Melayu pada majlis rasmi, termasuk ketika membentangkan Belanjawan 2026 dan menunaikan solat Jumaat.
Sering mengenakan hasil rekaan anak tempatan, penampilan beliau bukan sekadar menambah kewibawaan, malah menjadi satu bentuk penghargaan kepada pengkarya tempatan, termasuk capal jenama Jago buatan tangan dari pekan kecil, Kepala Batas.
Di sebalik capal yang tampak sederhana itu, tersimpan kisah warisan lebih enam dekad yang kini diteruskan penuh dedikasi oleh Badril Shahidan Hashim, 45, di sebuah kedai lama yang masih bergema dengan bunyi ketukan dan geseran pisau pada kulit.
Di celah deretan kedai yang sarat nostalgia, Badril Shahidan mewarisi legasi pembuatan capal tradisional itu daripada Allahyarham bapanya, Hashim Hassan, yang mengusahakan perniagaan berkenaan lebih 60 tahun sebelum meninggal dunia 16 tahun lalu pada usia 81 tahun.
Nama capal Jago semakin dikenali kerana selain Anwar, capal putih keluarannya turut digayakan bekas Perdana Menteri Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam dan beberapa kenamaan lain yang merupakan antara pelanggan tetapnya.
“Saya tidak pernah minta orang mempromosikan produk ini. Mereka memakainya kerana selesa dan tahan lama. Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga bukan baharu memakai capal saya, malah telah menggayakannya sejak zaman Allahyarham ayah saya lagi ketika beliau bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
“Sekarang, beliau akan membuat tempahan sekiranya mempunyai majlis tertentu seperti pembentangan bajet tahun lepas. Saya sendiri menghasilkan capal berkenaan kerana saiznya dibuat khusus untuk beliau,” katanya dalam temu bual bersama Bernama di kedainya, baru-baru ini.
Badril Shahidan berkata tempahan untuk Perdana Menteri dibuat berdasarkan permintaan warna dan corak mengikut keselesaan beliau.
“Setiap capal jenama Jago dihasilkan hampir 90 peratus secara buatan tangan. Saya menggunakan kulit asli seperti lembu, kambing dan kerbau melalui beberapa proses termasuk pemotongan, jahitan tangan serta kemasan tapak.
“Bagi model klasik, setiap pasang capal mengambil masa antara satu setengah hingga dua jam untuk disiapkan, manakala model premium boleh mencecah sehingga 18 jam kerana memerlukan penelitian yang lebih tinggi,” katanya.
Anak bongsu daripada lima beradik dan bapa kepada tiga anak itu berkata beliau berpegang kepada prinsip kualiti, ketelitian dan keselesaan dalam setiap pasang capal yang dihasilkan.
Bagi dua reka bentuk asas, model klasik ditawarkan pada harga sekitar RM160, manakala versi premium mencecah antara RM480 hingga RM500, bergantung kepada jenis kulit dan kemasan.
Dalam era pengeluaran besar-besaran, Badril Shahidan tetap setia kepada kaedah tradisional menggunakan tangan kerana hasilnya lebih selesa dipakai dan boleh disesuaikan mengikut kehendak pelanggan.
Menurut beliau, capal keluarannya hadir dalam tujuh pilihan warna termasuk hitam, putih, biru, coklat, kelabu dan merah, selain menerima tempahan khas mengikut cita rasa pelanggan, daripada tona biru lembut hingga corak bunga, elemen maskulin atau sentuhan batik.
Menjelang Hari Raya Aidilfitri, tempahan meningkat sehingga ratusan pasang, sekali gus memaksanya menutup tempahan lebih awal bagi memastikan mutu setiap capal terjamin.
“Selain dijual di kedai di sini, saya turut mempromosikan dan menjual produk melalui media sosial serta ejen di platform e-dagang,” katanya yang turut berkongsi ilmu pembuatan capal dengan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi di kedainya.
Badril Shahidan berkata beliau tidak menyangka capal buatan tangan dari sebuah kedai di pekan lama itu kini menembusi pasaran luar negara termasuk Melbourne, Singapura, Brunei dan Filipina, bermula daripada tempahan kecil pelancong yang tertarik dengan promosi di media sosial.
Lebih membanggakan, capal Jago bukan sahaja diminati masyarakat Melayu, malah turut mendapat sambutan dalam kalangan pelanggan Cina dan India, sekali gus membuktikan warisan keluarganya terus berkembang dari kedai kecil di Kepala Batas ke pasaran antarabangsa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial