ALOR SETAR, 14 Mac (Bernama) -- Suasana malam di Taman Jubli Emas, di sini, berubah menjadi panorama cahaya memukau apabila ribuan pelita menerangi kawasan tersebut sempena penganjuran Festival Pelita Raya 2026 yang berlangsung dari 10 hingga 29 Mac ini.
Festival anjuran AA Global Enterprise yang dikatakan terbesar di Malaysia itu menampilkan pelbagai replika berkonsepkan warisan Melayu dan Kedah yang dibina menggunakan kira-kira 6,000 pelita besi, sekali gus menghidupkan kembali nostalgia tradisi malam tujuh likur menjelang kedatangan Syawal.
Penolong pengurusnya, Azhani Osman berkata selain pelita besi, sebanyak 1,000 pelita buluh turut dipasang di sekitar kawasan festival bagi mewujudkan suasana kampung yang autentik serta menarik kehadiran masyarakat setempat dan pengunjung dari luar.
“Orang ramai yang berkunjung ke festival ini boleh menyaksikan 11 replika tradisional yang dihasilkan menggunakan pelita, antaranya Masjid Zahir, Menara Alor Setar, keris serta kapal terbang.
“Saya mendapat idea untuk menganjurkan festival pelita ini di Kedah kerana saya berasal dari Yan dan saya rasa sebelum ini belum pernah ada festival seperti ini diadakan di negeri ini,” katanya kepada Bernama hari ini sambil menambah semua reka bentuk replika datang daripada idea beliau sendiri.
Beliau berkata penganjuran festival itu bukan sesuatu yang mudah kerana pihaknya berdepan pelbagai cabaran termasuk faktor cuaca seperti angin kencang dan hujan yang boleh menyebabkan api pelita terpadam.
Bagaimanapun, katanya, seramai 20 pekerja akan memastikan semua pelita dinyalakan semula sekiranya terpadam, walaupun proses menyalakan semua pelita itu mengambil masa hampir dua jam.
Selain itu, Azhani berkata pihaknya turut menanggung kos penggunaan minyak diesel antara 300 hingga 600 liter sehari bagi memastikan kesemua pelita dapat dinyalakan sepanjang festival berlangsung.
Dalam masa sama, festival tersebut turut menampilkan percubaan mencipta rekod baharu Malaysia Book of Records (MBR) menerusi pembinaan pelita gergasi berukuran 20 meter lebar, 15 meter tinggi dan 65 meter ukur lilit yang dijangka siap selewat-lewatnya Isnin ini.
Beliau berkata pelita gergasi itu dibina menggunakan kira-kira lima tan besi serta 286 keping panel aluminium komposit (ACP) dan bakal menjadi tarikan utama kepada pengunjung.
Majlis pelancaran pelita gergasi itu dijadualkan berlangsung pada Selasa depan, yang seterusnya disertai majlis penyerahan pengiktirafan daripada MBR.
Azhani berkata selepas menerima pengiktirafan itu, pihaknya akan mengemukakan permohonan kepada Guinness World Records untuk cuba mengatasi rekod yang kini dipegang oleh Kanada.
Festival yang dibuka setiap hari dari 7.30 malam hingga 12 tengah malam itu turut menampilkan pelbagai tarikan lain seperti hiasan lampu bunga, pertunjukan api, permainan kanak-kanak serta muzium pelita.
Tiket masuk dijual pada harga RM10 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak, selain pengunjung turut berpeluang menyertai cabutan bertuah dengan hadiah utama sebuah kereta BMW 3 Series.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial