Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Langkah Penjimatan Kerajaan Bukti Komitmen Utamakan Rakyat - Hannah

12/03/2026 08:28 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Langkah penjimatan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk mengutamakan kebajikan rakyat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh.

Beliau berkata langkah itu juga bagi memastikan dana kerajaan digunakan secara berhemat agar dapat disalurkan kepada keperluan rakyat termasuk di Wilayah Persekutuan.

“Sebagai menteri, saya menyambut baik arahan Perdana Menteri dan kita di Wilayah Persekutuan akan mengikutinya. Langkah penjimatan ini penting bagi memastikan dana yang ada sentiasa mencukupi untuk mengutamakan rakyat di Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan. Ini adalah semangat Kerajaan MADANI untuk terus berjiwa rakyat,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri anjuran Ehsan Group of Companies bersama Yayasan Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan Dr Abdul Basir V. Kunhimohammed, Pengasas Ehsan Group of Companies Datuk Abdul Hamid P.V Abdu, Pengurus Besar Ehsan Group of Companies Abduk Gafur Suleiman dan komuniti setempat.

Pada majlis itu, Hannah yang juga Pengerusi Yayasan Wilayah Persekutuan menyampaikan sumbangan RM150 setiap seorang dan 100 guni beras kepada 200 penerima merangkumi anak-anak yatim, pelajar tahfiz dan golongan asnaf dari Parlimen Segambut.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata sumbangan itu merupakan program tradisi syarikat berkenaan yang telah dilaksanakan selama 32 tahun bagi menyantuni dan membantu golongan yang memerlukan.

Beliau berkata aktiviti kebajikan tersebut tidak hanya tertumpu di Segambut, malah telah diperluaskan ke negeri-negeri lain termasuk Negeri Sembilan Johor, Melaka dan Pulau Pinang dengan penglibatan pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa semua kementerian, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak akan menganjurkan sambutan rumah terbuka Aidilfitri tahun ini sebagai langkah penjimatan susulan ketidaktentuan ekonomi global akibat konflik di Asia Barat.

Anwar turut mengarahkan menteri dan anggota pentadbiran untuk menghadkan lawatan ke luar negara, kecuali bagi urusan yang telah dijadualkan lebih awal atau wajib dihadiri.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan