JERANTUT, 11 Mac (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pahang akan memberikan insentif khas kepada komposer Joy Ngiaw atas kejayaan memenangi anugerah pada 4th Annual Children’s & Family Emmy Awards di New York, 2 Mac lepas.
Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail berkata insentif tersebut adalah sebagai tanda penghargaan atas kejayaan anak kelahiran Pahang di peringkat antarabangsa.
“Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih (kepada Ngiaw) kerana sudah mengharumkan nama negeri Pahang dan negara. Saya mengharapkan supaya beliau terus kekal cemerlang,” katanya pada sidang media pengumuman dividen Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (Kosma) 2026 di Pejabat Daerah dan Tanah Jerantut di sini hari ini.
Pada 2 Mac lepas, Ngiaw merangkul anugerah Outstanding Music Direction and Composition for an Animated Program menerusi skor muzik bagi siri animasi WondLa di Apple TV+.
Dalam perkembangan lain, Wan Rosdy berkata Kosma akan membayar dividen unit ladang berjumlah RM30.62 juta kepada 1,494 orang serta pendahuluan dividen sebanyak satu unit ladang yang bernilai RM6,000 kepada semua anggota melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM8.96 juta.
“Kosma juga akan memberikan bonus raya sebanyak RM2,000 kepada semua anggota yang keseluruhannya berjumlah sebanyak RM2.986 juta,” katanya.
Wan Rosdy berkata baki dividen unit ladang akan dibayar selepas Mesyuarat Agung Tahunan Kosma yang akan berlangsung pada 20 Jun tahun ini, manakala dividen modal syer juga akan dibayar selepas mendapat kelulusan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri berharap pengagihan unit ladang dan bonus raya itu akan dapat meringankan beban seluruh anggota Kosma dalam melakukan persiapan menjelang Aidilfitri.
“Semoga KOSMA terus maju jaya dan menjadi contoh kepada koperasi-koperasi yang lain di Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial