KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Orang ramai tidak perlu bimbang menggunakan pengangkutan awam untuk membuat persiapan Aidilfitri kerana tahap kesiagaan operasi dan teknikal perkhidmatan telah dipastikan pada tahap optimum sepanjang musim perayaan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) Amir Hamdan berkata pihaknya memberikan fokus penuh dalam memastikan semua mod pengangkutan seliaan Prasarana beroperasi lancar tanpa gangguan.
“Semua perkhidmatan kita (beroperasi) seperti biasa, bas, van, Rapid-on-Demand dan juga rel. Orang ramai tidak perlu risau dari segi kekerapan ataupun perkhidmatan kita,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Prasarana di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian semasa ditanya persediaan Prasarana dalam menguruskan lonjakan penumpang menggunakan rel dan bas untuk membeli-belah menjelang hari raya.
Amir berkata walaupun jumlah penumpang dijangka berkurangan sehingga lebih 50 peratus pada hari raya, namun kesiagaan petugas teknikal dan operasi tetap dikekalkan pada tahap tertinggi.
“Staf kita bekerja seperti biasa. Cuma kekerapan akan berubah mengikut hari kelepasan awam,” katanya dan menambah jadual operasi selaras dengan ketetapan lesen Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Selain itu, Prasarana turut menambah baik sistem komunikasi krisis dengan memperkenalkan bantuan visual seperti pemetaan lokasi bas perantara dan penambahan pasukan Troopers dalam kalangan kakitangan untuk membantu penumpang jika berlaku gangguan luar jangka.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial