Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Sabah Sasar Tingkatkan SSL Beras Negeri Melalui Sistem Mini Estet - Jamawi

10/03/2026 04:30 PM

KOTA BELUD, 10 Mac (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sabah merancang melaksanakan pembangunan sistem mini estet padi sebagai antara langkah meningkatkan tahap sara diri (SSL) beras di negeri itu, yang ketika ini berada pada kira-kira 19 peratus.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri Datuk Jamawi Jaafar berkata pendekatan itu dicadangkan bagi mengoptimumkan penggunaan tanah terbiar selain meningkatkan pengeluaran padi secara lebih sistematik dan berskala besar.

“SSL yang kami buat masa ini adalah lebih kurang 19 peratus keperluan sara diri untuk negeri Sabah berdasarkan kepada 24,000 hektar yang ditanam.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Kami cuba untuk meningkatkan sekurang-kurangnya 10 peratus lagi menjelang dua hingga tiga tahun ini, dengan membuka kawasan-kawasan yang terbiar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi libat urus antara beberapa agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersama Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah mengenai pembangunan industri padi negeri di sini hari ini.

Turut hadir Pembantu Menteri Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Fairuz Renddan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, ADUN Tempasuk Datuk Mohd Arsad Bistari dan Pengarah Bahagian Pertanian Kementerian Ekonomi Datuk Zul Hadi Ahmad.

Kota Belud yang memiliki kawasan jelapang padi terbesar di Sabah dengan keluasan kira-kira 7,000 hektar adalah kawasan penting dalam usaha meningkatkan pengeluaran padi negeri.

Jamawi berkata cadangan mini estet itu akan melibatkan kira-kira 404.6 hektar kawasan terbiar di Kota Belud selain turut dirancang di kawasan Terusan Sapi, Telupid bagi memastikan pembangunan industri padi dilaksanakan secara mampan.

Sementara itu, beliau berkata benih padi TR8 dikeluarkan Jabatan Pertanian akan digunakan dalam pembangunan kawasan mini estet berkenaan kerana mempunyai potensi hasil tinggi sehingga sembilan tan sehektar, malah terdapat petani di Sabah mampu mencapai sehingga 12 tan dengan pengurusan yang baik.

Selain itu, beliau berkata kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) turut menyalurkan peruntukan RM230 juta bagi menaik taraf sistem pengairan dan saliran di Kota Belud sebagai usaha mengatasi masalah banjir yang menjejaskan kawasan penanaman padi di daerah itu.

“Di Kota Belud ini sahaja ada lebih kurang 3,000 hektar tanah terbiar yang sesuai untuk sawah padi tetapi masih tidak diusahakan kerana beberapa masalah berkaitan pengairan.

“Saya yakin dan percaya inilah yang akan kami bangunkan untuk lebih kurang 1,000 hektar dengan peruntukan yang kami terima,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan