Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

PM Anwar Pantau Secara Serius Operasi Evakuasi Rakyat Malaysia Dari Timur Tengah

09/03/2026 07:46 PM

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memantau secara serius operasi evakuasi rakyat Malaysia dari zon konflik di Timur Tengah setelah pengesahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dibuat pada hari ini.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata Perdana Menteri sekali lagi menekankan bahawa nyawa setiap rakyat Malaysia diutamakan dalam apa jua keadaan, terutamanya situasi kritikal yang tidak menentu.

“Mengambil keberkatan bulan Ramadan, Perdana Menteri mendoakan agar keseluruhan operasi membawa mereka pulang ini dipermudah, berjalan lancar, dan kesemua rakyat Malaysia yang terjejas dapat dibawa pulang ke tanah air dengan selamat,” katanya dalam taklimat Pejabat Perdana Menteri, pada Isnin.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

MKN dalam satu kenyataan pada Isnin berkata Kerajaan Malaysia kini berada pada fasa akhir persiapan bagi melaksanakan proses membawa pulang rakyat Malaysia dari beberapa negara yang terjejas akibat konflik di Timur Tengah susulan perkembangan keselamatan yang kian meruncing di rantau berkenaan. 

Ketegangan di Timur Tengah meruncing sejak 28 Feb susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran, di ikuti oleh serangan balas Tehran terhadap kepentingan AS di negara Teluk.

Menurut rekod Kementerian Luar, setakat 8 Mac, seramai 641 orang rakyat Malaysia masih terkandas di beberapa negara terjejas di rantau itu manakala 24,568 rakyat Malaysia telah berdaftar menerusi sistem e-Konsular setakat 7 Mac.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan