Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Bilik Air Bukan Tempat Selamat, Jangan Berlindung Ketika Kebakaran - Hannah

09/03/2026 04:51 PM

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Orang ramai diingatkan supaya tidak berlindung di dalam bilik air atau tandas ketika berlaku kebakaran susulan beberapa kes mangsa ditemukan meninggal dunia di ruang berkenaan dalam insiden kebakaran kediaman strata di ibu kota.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata ruang itu mempunyai pengudaraan terhad dan boleh dipenuhi asap dengan cepat menyebabkan paras oksigen menurun dengan pantas, sekali gus boleh mengakibatkan mangsa pengsan dalam masa beberapa minit.

“Trend ini membimbangkan apabila kes kebakaran meningkat dan kebanyakan mangsa ditemukan dalam tandas atau bilik air. Mereka tak tahu suhu air meningkat. Mereka ingatkan itu adalah jalan selamat,” katanya pada sidang media mengenai pengukuhan kesedaran keselamatan kebakaran di bangunan strata berketumpatan tinggi Kuala Lumpur di sini hari ini.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Pada masa sama, Hannah berkata mangsa yang berada di dalam bilik air juga sukar dikesan oleh anggota penyelamat kerana pasukan bomba lazimnya akan memeriksa ruang utama seperti ruang tamu dan bilik tidur terlebih dahulu.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata penduduk perlu mengenal pasti laluan kecemasan di bangunan masing-masing dan segera keluar dari unit kediaman sekiranya berlaku kebakaran.

Jika tidak dapat keluar, beliau menasihatkan penduduk supaya berada di bilik yang mempunyai tingkap menghadap ke luar bangunan serta menutup celah bawah pintu menggunakan kain atau tuala yang dibasahkan bagi menghalang asap masuk.

Selain itu, penduduk juga boleh memberi isyarat meminta bantuan dengan melambaikan kain atau objek berwarna terang di tingkap bagi memudahkan pasukan penyelamat mengesan lokasi mereka.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Hassan ‘As’ari Omar berkata statistik menunjukkan beberapa kes mangsa kebakaran ditemukan meninggal dunia di dalam bilik air di sekitar ibu negara, iaitu sebanyak tiga pada 2024 dan lima (2025).

“Pada 2024 kes pertama adalah di hadapan Scott Garden, ada dua lelaki meninggal dunia. Kemudian satu lagi di Jalan Tepian Loke Yew, satu kanak-kanak meninggal dunia. Semuanya dalam bilik air.

“Untuk 2025 kami pun ada kes, iaitu Perumahan Awam Sri Terengganu, Jalan Sentul dengan satu wanita meninggal dunia dan kemudian Blok B di Flat Jalan Hang Tuah (satu lelaki), Residensi Enesta, Taman Jinjang Baru (satu lelaki) dan terakhir di Flat Sentul Utama, Jalan Dato Senu (satu lelaki dan satu wanita),” katanya.

Hassan ‘As’ari ketika mengulas punca kebakaran di bangunan strata berkata majoriti kes berpunca daripada masalah elektrik selain kecuaian manusia termasuk penggunaan peralatan elektrik yang tidak mempunyai pensijilan keselamatan serta pembelian barangan elektrik murah secara dalam talian.

Selain itu, beliau berkata terdapat juga kes kebakaran berpunca daripada penggunaan peralatan bagi aktiviti terlarang serta pengecasan telefon bimbit ketika tidur yang boleh menyebabkan risiko bateri menjadi terlalu panas.

Terdahulu, Hannah berkata jumlah kejadian kebakaran di bangunan strata di Kuala Lumpur menunjukkan peningkatan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, iaitu sebanyak 68 kes direkodkan pada 2023, 75 kes (2024) dan 86 kes (2025).

Justeru, beliau berkata trend itu menuntut kerjasama semua pihak termasuk badan pengurusan bangunan bagi memastikan tahap keselamatan kebakaran sentiasa berada pada tahap terbaik.

Beliau turut menyalurkan geran sebanyak RM50,000 kepada JBPM Kuala Lumpur bagi membantu pembelian peralatan tambahan untuk memperkukuhkan lagi tahap kesiapsiagaan operasi mereka.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan