Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Fakulti Perubatan Veterinar UniSZA Bantu Atasi Kekurangan Pakar Bidang Kesihatan Haiwan

09/03/2026 05:56 PM

Oleh Nurfardlina Izzati Moktar

JERTIH, 9 Mac (Bernama) -- Penubuhan Fakulti Perubatan Veterinar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah membantu melahirkan ramai tenaga pakar yang dapat menyumbang kepada keterjaminan makanan serta kebajikan haiwan di negara ini.

Dekan Fakulti Perubatan Veterinar UniSZA Ts Dr Mohd Faizal Ghazali berkata negara ketika ini juga masih kekurangan pakar perubatan veterinar bagi memenuhi permintaan yang tinggi dalam sektor kerajaan dan swasta.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Sehubungan itu, kami ingin melahirkan lebih ramai doktor perubatan veterinar yang diiktiraf Majlis Veterinar Malaysia (MVC) bagi memenuhi keperluan negara dan industri,” katanya kepada Bernama di Pejabat Dekan Fakulti Perubatan Veterinar UniSZA Kampus Besut di sini baru-baru ini.

Mohd Faizal berkata Fakulti Perubatan Veterinar UniSZA mendapat kelulusan penubuhan secara rasmi daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada Nov 2024.

Beliau berkata fakulti berkenaan menawarkan program Sarjana Muda Produksi dan Kesihatan Haiwan dengan Kepujian (SMPKH) yang telah melahirkan 15 kohort graduan setakat ini.

“Program itu kini memasuki kohort ke-16. Daripada jumlah itu, 15 kohort telah pun bergraduasi dan secara purata setiap kohort mempunyai antara 50 hingga 60 pelajar.

“Dari segi program yang ditawarkan, SMPKH mempunyai Kod NEC 0841, iaitu Veterinar. Ia merupakan satu daripada dua program di Malaysia yang bukan dalam bidang Doktor Perubatan Veterinar tetapi mempunyai kod NEC tersebut kerana program berkenaan mempunyai komponen kesihatan haiwan,” katanya sambil menambah Fakulti Perubatan Veterinar kini mempunyai lapan pensyarah.

Beliau berkata melalui program SMPKH, pelajar berpeluang untuk memperoleh kemahiran dalam aspek kesihatan serta pengurusan haiwan di klinik sama ada klinik haiwan ternakan seperti kuda dan lembu atau klinik haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing.

Dalam pada itu, Mohd Faizal berkata pihaknya kini dalam proses membangunkan program Doktor Perubatan Veterinar (DVM) yang memerlukan kelulusan KPT, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) serta MVC sebelum dapat ditawarkan dalam Fakulti Perubatan Veterinar.

Beliau berkata sekiranya diluluskan, UniSZA akan menjadi institusi pengajian tinggi awam (IPTA) ketiga dan institusi pengajian tinggi (IPT) keempat di Malaysia yang menawarkan program tersebut.

“Kita menjangkakan kohort pertama program ini dapat dimulakan pada sesi 2027/2028 dengan pengambilan sekitar 30 hingga 40 pelajar bagi peringkat awal,” katanya.

Beliau berkata program DVM yang bakal ditawarkan itu akan memberi penekanan kepada bidang sains penternakan dan sains ekuin selaras dengan keperluan sektor agromakanan di Pantai Timur.

“Apa yang membezakan program DVM yang akan ditawarkan oleh fakulti ini ialah kita mempunyai nic dalam bidang sains penternakan dan juga sains ekuin. Kita akan memberi lebih fokus kepada sains penternakan bagi menyokong sektor agromakanan di rantau ini.

“Selain itu, kita juga akan memberi sedikit fokus kepada sains ekuin. Kita mungkin merupakan satu-satunya institusi yang memberi penekanan terhadap sains sukan ekuin seperti endurance, polo dan sebagainya dalam program DVM,” katanya.

Mohd Faizal berkata pihaknya turut merancang pembangunan hospital pengajar veterinar di sebuah lokasi di Kuala Terengganu yang akan menyediakan kemudahan komprehensif termasuk makmal diagnosis, makmal kajian makanan ternakan serta makmal penyelidikan penyakit zoonotik.

“Buat masa ini dalam tempoh dua tahun pertama sebelum program DVM ditawarkan, Fakulti Perubatan Veterinar akan beroperasi di UniSZA Kampus Besut. Bagaimanapun, fakulti sebenar (Fakulti Perubatan Veterinar) bersama sebuah hospital pengajar veterinar sedang dalam perancangan untuk dibina di Kuala Terengganu.

“Mengenai hospital pengajar veterinar, kita sebenarnya telah menyiapkan kertas kerja dan kini dalam proses mendapatkan peruntukan daripada kementerian. Bagaimanapun, sumber peruntukan tersebut masih belum dimuktamadkan sama ada melalui inisiatif universiti sendiri bersama pemegang taruh atau melalui dana KPT,” katanya.

Sementara itu, Mohd Faizal berkata fakulti berkenaan turut menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta pihak industri termasuk klinik veterinar swasta dan ladang ternakan besar bagi tujuan latihan industri, penempatan pelajar serta pembangunan kurikulum.

Mohd Faizal berkata penyelidikan fakulti juga memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti genetik ternakan tempatan, kawalan penyakit zoonotik serta isu rintangan antimikrob.

Beliau berkata dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, pihaknya berhasrat untuk menawarkan program DVM sepenuhnya selain melahirkan graduan berkualiti bagi memenuhi keperluan industri dan menyokong pembangunan sektor agromakanan negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan