Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

LRT Laluan Mutiara: Kerajaan Negeri Tumpu Isu Tanah, Penempatan Semula Penduduk

09/03/2026 04:26 PM

GEORGE TOWN, 9 Mac (Bernama) -- Pulau Pinang kini memberi tumpuan utama kepada isu pengambilan tanah serta penempatan semula penduduk yang terlibat susulan pelaksanaan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata ketika ini kerja-kerja berkaitan projek sedang giat dijalankan mengikut jadual ditetapkan dengan kerajaan negeri bertanggungjawab menyelesaikan perkara berkaitan pengambilan tanah dan penempatan semula penduduk terlibat.

“Pada peringkat ini, kita melihat pelbagai jadual telah ditetapkan bagi menyempurnakan proses penempatan semula dan menyerahkan tapak kepada kontraktor.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

"Urusan lain seperti aspek kejuruteraan serta kontrak projek pula berada di bawah tanggungjawab pihak pemaju iaitu Mass Rapid Transit Corporation (MRT Corp) bersama kontraktor yang dilantik," katanya ketika ditemui pada Majlis Jamuan Tahun Baharu Cina dan Sambutan Hari Wanita anjuran Dewan Perniagaan Wanita Cina Pulau Pinang (PWCC), di sini, hari ini.

Beliau berkata setakat ini hanya 12 buah rumah dikenal pasti terlibat dengan proses pengosongan di kawasan Sungai Dua.

“Tidak banyak kes, kira-kira sedozen rumah sahaja kerana jajaran projek masuk ke kampung di tepi pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di situ,” katanya.

LRT Laluan Mutiara yang memulakan pembinaan pada 2025 dan dijangka memulakan operasi pada Disember 2031 akan merangkumi sepanjang kira-kira 29.67 kilometer dengan 20 stesen dan dua stesen provisonal.

Pelaksanaannya adalah bertujuan untuk meningkatkan keterhubungan antara Pulau Pinang dan tanah besar, sekali gus mengurangkan kesesakan jalan raya serta menambah baik ketercapaian.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan