KOTA KINABALU, 9 Mac (Bernama) -- Sabah menerima dana sebanyak RM22.75 juta daripada Kerajaan Persekutuan di bawah inisiatif Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT) bagi menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar di negeri berkenaan.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata dana itu menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan yang diterima Sabah di bawah inisiatif berkenaan mencecah RM126.36 juta sejak 2019.
“Ini jelas menunjukkan pengiktirafan Kerajaan Persekutuan terhadap dasar pemuliharaan alam sekitar kerajaan negeri yang kukuh.
“Kerajaan negeri mengalu-alukan sokongan berterusan daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Ketua Menteri Sabah hari ini.
Dana itu disampaikan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup kepada Hajiji di Menara Kinabalu di sini hari ini.
Kenyataan itu memaklumkan pertemuan berkenaan turut membincangkan pindaan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta penyelarasan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara dengan perundangan Sabah.
Langkah itu bertujuan memastikan manfaat ekonomi karbon dapat dioptimumkan oleh Kerajaan Negeri Sabah selaras dengan usaha memperkukuh pemuliharaan biodiversiti dan kelestarian alam sekitar di negeri berkenaan.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Nor Yahati Awang serta pegawai-pegawai kanan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial