KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye hari ini menyumbangkan sebanyak RM10,000 kepada Yayasan SALAM Malaysia (SALAM) bagi menyokong agenda kesukarelawan dan perpaduan negara badan bukan kerajaan (NGO) itu.
Sumbangan tersebut merupakan hasil jualan buku autobiografi beliau bertajuk “Call Lee Lam Thye-Recounting a Lifetime of Service” yang dilancarkan pada Jun 2022.
Lee berkata sumbangan itu selaras dengan objektif yayasan tersebut yang komited membantu golongan memerlukan menerusi aktiviti kebajikan.
“Kerja ini merupakan satu dedikasi kepada aktiviti sukarela di Malaysia dan saya sendiri akan terus bergiat aktif selagi mampu bergerak,” katanya pada majlis ringkas penyerahan sumbangan itu di pejabatnya di sini, hari ini.
Sumbangan tersebut diterima oleh Pemangku Pengerusi Yayasan SALAM Malaysia Datuk Yong Soo Heong.
Sementara itu, Yong berkata sumbangan berkenaan sangat tepat pada masanya ketika yayasan sedang mempergiat semula operasi pasca pandemik COVID-19.
Beliau berkata dana tersebut akan digunakan untuk membiayai pelbagai program termasuk inisiatif literasi kewangan dan pengurusan perbelanjaan bagi komuniti.
“Yayasan juga merancang untuk mengadakan forum kesejahteraan bagi menangani isu buli di sekolah dan tempat kerja dengan kerjasama pakar psikiatri.
“Selain itu, program bantuan pengangkutan sedang dirangka bagi membantu masyarakat Orang Asli memasarkan hasil pertanian mereka dari kawasan pedalaman ke pasar,” katanya.
Autobiografi Lee memaparkan perjalanan hidup beliau sebagai ahli politik seawal usia 23 tahun sehinggalah kepada sumbangannya dalam aktiviti kemasyarakatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial