Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

KKIA Catat 153 Penerbangan Antarabangsa Seminggu, Dua Laluan Baharu Disasar Tahun Ini

09/03/2026 02:55 PM

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Sebanyak 13 syarikat penerbangan kini menyediakan perkhidmatan antarabangsa berjadual dengan kekerapan 153 penerbangan seminggu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata antara syarikat penerbangan yang beroperasi ke Kota Kinabalu ialah AirAsia, Batik Air, Air Busan, Jin Air, Jeju Air, T’Way, Hong Kong Express, China Southern Airlines, Shanghai Airlines, Spring Airlines, Xiamen Airlines, Fly Scoot dan Royal Brunei.

Beliau berkata bagi menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026, Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menyasarkan pembukaan dua laluan antarabangsa baharu ke lapangan terbang berkenaan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Dua laluan antarabangsa baharu yang dirancang ialah laluan Kota Kinabalu-Chongqing yang akan dikendalikan oleh Chongqing Airlines bermula 20 Mac 2026 serta laluan Kota Kinabalu-Jeddah yang kini masih dalam pertimbangan dan diharapkan dapat direalisasikan pada tahun ini,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Hasbi berkata Kerajaan Persekutuan sentiasa menggalakkan mana-mana syarikat penerbangan tempatan mahupun asing untuk menyediakan serta memperluas perkhidmatan penerbangan antarabangsa dan domestik ke Sabah.

Beliau berkata kerajaan juga melaksanakan rundingan secara berterusan bagi memperkukuh dan menambah baik hak trafik udara dengan negara-negara luar selain menyediakan pelbagai insentif melalui MAHB dan Tourism Malaysia bagi menarik lebih banyak syarikat penerbangan beroperasi ke Sabah.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Edward Linggu Bukut, Hasbi berkata keputusan untuk membuka sesuatu laluan penerbangan ditentukan oleh syarikat penerbangan berdasarkan pertimbangan komersial termasuk permintaan penumpang.

Beliau berkata peningkatan jumlah pelancong serta daya tarikan destinasi pelancongan di Sabah akan mendorong syarikat penerbangan menambah kekerapan atau membuka laluan baharu.

Pada masa sama, beliau berkata kerajaan turut melaksanakan beberapa projek naik taraf lapangan terbang di Sabah bagi memperkukuh ketersambungan penerbangan di negeri itu, antaranya projek naik taraf Lapangan Terbang Tawau bernilai RM120.9 juta melibatkan peningkatan kapasiti daripada 1.5 juta kepada 2.5 juta penumpang setahun.

“Projek ini bermula pada Ogos 2025 dengan tempoh pelaksanaan selama 36 bulan dan dijangka siap pada September 2028,” katanya.

Beliau berkata Lapangan Terbang Lahad Datu juga dirancang untuk dinaik taraf menggunakan peruntukan Airport Development Fund (ADF), dengan kajian projek dijangka dimuktamadkan pada suku ketiga 2026.

Selain itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu turut dirancang untuk dinaik taraf dengan anggaran kos sekitar RM400 juta, dengan kajian terperinci sedang dijalankan sebelum projek dilaksanakan.

Menjawab soalan tambahan Senator Robert Lau Hui Yew mengenai penerbangan antarabangsa ke Sarawak, Hasbi berkata pembukaan laluan baharu bergantung kepada permintaan pasaran serta faktor muatan penumpang yang dinilai oleh syarikat penerbangan.

Beliau berkata usaha memperkukuh ekosistem pelancongan oleh kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan serta pemain industri penting bagi menarik lebih banyak pelancong, sekali gus meningkatkan potensi pembukaan laluan penerbangan antarabangsa ke Sarawak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan