Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Belia Johor Optimis Terhadap Hala Tuju Pembangunan Negeri

09/03/2026 12:11 PM

JOHOR BAHRU, 9 Mac (Bernama) -- Golongan belia di Johor optimis terhadap hala tuju pembangunan negeri itu yang progresif dan berdaya saing, didorong pelbagai inisiatif yang memfokuskan kepada pendidikan, peluang pekerjaan berkualiti serta pengukuhan ekonomi.

Pencapaian Johor merekodkan jumlah pelaburan sebanyak RM110 bilion pada tahun lepas iaitu yang tertinggi dalam sejarah negara, turut mengukuhkan prospek pertumbuhan dan masa depan pembangunan negeri itu.

Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) Muhammad Danial Hakimi Abdul Razak, 23, berkata perkembangan itu mampu menarik minat golongan belia khususnya yang berada di luar negeri untuk kembali ke Johor bagi meneroka peluang pekerjaan serta pembangunan kerjaya yang semakin berkembang.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

"Pelaburan ini sangat tinggi, saya fikir, ia akan membuatkan anak-anak muda yang bekerja di luar Johor, ingin kembali ke sini.

"...seperti yang dimaklumkan, mahasiswa pada masa akan datang juga (dijangka) akan diberikan gaji minimum RM4,000 (menerusi inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ)," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Belia Johor, di sini, malam tadi.

Pengerusi UMNO Siswa UUM itu berkata usaha kerajaan negeri menyediakan platform untuk mengasah bakat seperti Johor Talent Development Council (JTDC) turut membuktikan perancangan jangka panjang dalam pembangunan modal insan.

“Menerusi platform JTDC, mahasiswa atau anak muda Johor diberi peluang untuk membangun minat dalam pekerjaan dengan lebih kompeten," kata pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan dan Kepujian itu.

Bagi mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Rembau, Nur Balqis Batrisya Yuddi, 21, pendekatan kerajaan negeri yang mengukur pembangunan dengan negara maju seperti Singapura juga jelas menunjukkan perancangan lebih kehadapan serta berorientasikan masa depan.

"Perkara ini juga boleh dilihat menerusi hubungan baik kerajaan negeri dengan negara lain seperti China, (justeru) saya harap Johor terus stabil dan membangun lebih daripada ini pada masa hadapan," kata Ahli Dewan Muda Johor itu yang mengambil jurusan Diploma Komunikasi dan Pengajian Media.

Pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Muhammad Aliff Izzat Mistam, 25, pula berkata masa depan golongan belia di Johor dilihat cerah didorong oleh kestabilan politik serta pelaksanaan inisiatif pembangunan yang bersifat inklusif.

"Setiap inisiatif yang dilaksanakan kerajaan negeri memberi impak kepada kami, contohnya bantuan pendahuluan pendaftaran universiti yang memastikan mahasiswa dibantu dari peringkat awal lagi,” kata pelajar Sarjana Falsafah itu.

Beliau berkata perancangan pembangunan Johor yang bermula dari bangku sekolah melalui Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) bakal melahirkan generasi muda berkemahiran dan berdaya saing seiring perkembangan dunia moden. 

Dalam pada itu, Ahli Dewan Muda Johor Ummi Aleeya Mohd Jafni, 23, berkata pemberian bantuan daripada kerajaan negeri menerusi Bantuan Kasih Johor (BKJ) merupakan salah satu inisiatif besar kepada pelajar.

"Meskipun ada orang katakan jumlahnya sedikit dan sebagainya, tetapi inisiatif bantuan ini sangat besar buat kami terutama yang belajar jauh dari Johor," katanya yang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa di UiTM Shah Alam.

Bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda Fakulti Pendidikan Teknikal Vokasional di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Mohamad Zhairul Irfan Jumari, 24, inisiatif seperti Dewan Muda Johor memberi peluang kepada mahasiswa untuk menyuarakan pandangan terhadap kerajaan negeri sekali gus membina kepimpinan generasi masa depan.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan