Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Rempah Warisan Tiga Generasi Kekal Menjadi Pilihan Di Kepala Batas

09/03/2026 08:44 AM

Oleh Erma Idayu Mohd Yusop

KEPALA BATAS, 8 Mac (Bernama) -- Di sebuah kedai sederhana di pekan lama Kepala Batas, aroma rempah ratus yang harum dan menyelerakan seakan-akan membawa pelanggan mengembara ke dapur-dapur tradisional yang kaya dengan cita rasa.

Berbekalkan resipi turun-temurun dan bahan mentah berkualiti yang dibawa khas dari India, kedai rempah-ratus campuran yang kini diusahakan generasi ketiga itu terus menjadi pilihan pelanggan, khususnya ketika Ramadan dan menjelang Aidilfitri.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Pemilik kedai Shahul Hameed Siddiq Mohamad, 44, berkata perniagaan yang diwarisi daripada datuk dan bapanya itu telah beroperasi sejak 1970-an dan masih kekal relevan sehingga hari ini kerana mengekalkan keaslian rasa serta kualiti campuran rempah.

“Ini perniagaan generasi ketiga. Dahulu datuk yang mulakan, kemudian disambung oleh bapa saya dan kini saya meneruskan legasi kedai rempah campur ini, yang keistimewaannya ialah resipi campuran sendiri yang menjadi identiti kedai,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini. 

Beliau berkata bahan mentah utama seperti jintan putih, jintan manis, kas-kas, garam masala dan pelbagai lagi diperoleh terus dari India sebelum dicampur semula di kedai mereka mengikut sukatan rahsia keluarga.

Shahul Hameed berkata semua campuran dibuat sendiri dengan mengambil bahan mentah dalam kuantiti besar dan mencampurnya semula di sini mengikut resipi keluarga, sekali gus menyebabkan pelanggan terus mencari rempahnya.

Beliau berkata Kedai Rempah Shahul Hameed di pekan lama Kepala Batas itu menawarkan kira-kira 40 jenis rempah campuran termasuk rempah kari ikan, kari daging, ayam goreng, ayam bawang serta campuran khas untuk nasi Arab, nasi mandy dan nasi beriani.

Selain itu, rempah untuk hidangan popular seperti martabak, roti john, nasi daging dan bubur kanji juga mendapat permintaan tinggi, terutamanya dalam kalangan peniaga bazar Ramadan.

Menurut Shahul Hameed, sepanjang bulan Ramadan, kedai itu mampu menjual sehingga 150 kilogram pelbagai jenis rempah setiap hari dengan pelanggan bukan sahaja dari Pulau Pinang tetapi juga dari negeri lain yang datang mendapatkan campuran rempah asli berkenaan.

Selain rempah masakan, kedai itu turut menyediakan bahan untuk minuman tradisional termasuk campuran khas ‘akar sarbat’ bagi menghasilkan sirap tradisional yang popular dalam kalangan masyarakat tempatan.

Shahul Hameed berkata meskipun menggunakan bahan mentah import, harga yang ditawarkan kekal berpatutan supaya semua lapisan masyarakat mampu menikmatinya.

“Paling murah kami jual rempah siap dicampur dengan harga RM3 bagi setiap 120 gram dan kami juga jual ikut keperluan daripada kuantiti kecil sampai sekilogram.

“Saya juga berkongsi resipi masakan kepada pelanggan berdasarkan rempah yang dibeli bagi memastikan hasil masakan lebih enak dan menepati cita rasa,” katanya.

Shahul Hameed berkata pelanggan di kedai itu terdiri daripada pelbagai golongan termasuk suri rumah, pengusaha katering dan peniaga nasi kandar yang mendapatkan bekalan rempah campuran secara tetap.

Beliau berkata bagi pelanggan lama, rempah dari kedai itu juga sering menjadi pilihan untuk kenduri-kendara kerana campuran rempah rahsia yang ditawarkan melengkapkan cita rasa masakan masyarakat setempat.

Bagi Shahul Hameed, meneruskan perniagaan keluarga itu bukan sekadar mencari keuntungan, sebaliknya satu tanggungjawab untuk memelihara warisan rasa yang telah menjadi sebahagian daripada identiti komuniti setempat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan