KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) -- Kerajaan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan melibatkan kedudukan ekonomi negara, termasuk impak terhadap subsidi petrol susulan konflik yang berlaku di Timur Tengah.
Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kenaikan harga minyak dunia bukan sesuatu yang luar biasa memandangkan harga komoditi itu pernah mencecah USD100 setong sebelum ini.
Beliau bagaimanapun memberikan jaminan Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi telah membuat persediaan bagi menghadapi pelbagai kemungkinan berkaitan perkembangan berkenaan.
Ketegangan geopolitik di Timur Tengah sememangnya memberikan kesan kepada banyak negara termasuk Malaysia, justeru kerajaan memantau perkembangan itu secara berterusan.
“Kita mengikuti perkembangan yang berlaku setiap jam, setiap minit. Dalam masa sama, kerajaan perlu memastikan tiga perkara, iaitu memberikan fokus kepada program yang sedang dilaksanakan kerana asas ekonomi negara masih kukuh, seperti ditunjukkan melalui pertumbuhan ekonomi.
“Kita juga perlu memastikan pertumbuhan ekonomi itu dapat dirasai rakyat menerusi peningkatan pelaburan dan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang baik,” katanya kepada Bernama pada Program Raikan Kasih Ramadan bersama anak yatim dan asnaf, di sini hari ini.
Tengku Zafrul berkata sebagai sebuah negara neutral yang mengamalkan dasar ekonomi terbuka, Malaysia juga perlu memastikan hubungan serantau dengan negara lain terus terpelihara termasuk negara di Timur Tengah.
Sementara itu, beliau yang juga Penasihat Yayasan TZA menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan melantiknya sebagai Penasihat Kanan Politik.
Beliau berkata pelantikan yang berkuat kuasa Khamis lepas itu, memberikan ruang kepadanya mengadakan pertemuan dengan pegawai di Jabatan Perdana Menteri pada Jumaat bagi membincangkan peranan yang akan dilaksanakan.
“Fokus saya ketika ini adalah membantu kerajaan dari segi politik serta isu yang relevan kepada kerajaan, khususnya isu rakyat dan ekonomi,” katanya.
Terdahulu, Tengku Zafrul menyantuni 155 anak yatim dan asnaf membeli baju raya dan seterusnya menyampaikan duit raya serta sumbangan kepada Rumah Kasih Nurul Hashanah, dan Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim & Asnaf Qaseh Ibu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial