KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) -- Malaysia Hindu Sangam (MHS) bekerjasama rapat dengan pertubuhan keagamaan dan pihak berkuasa bagi menangani isu melibatkan kuil serta rumah ibadat Hindu, termasuk kes yang memerlukan pemindahan.
Presiden MHS T. Ganesan berkata pertubuhan itu bekerjasama dengan kira-kira 35 badan keagamaan untuk meneliti secara bersama perkara berkaitan rumah ibadat Hindu serta memastikan penyelesaian dapat dicapai selaras dengan amalan agama dan prosedur yang sewajarnya.
“Kami tidak bertindak bersendirian. Kira-kira 35 pertubuhan keagamaan bekerjasama untuk meneliti isu melibatkan kuil kami serta memastikan perkara ini ditangani dengan sewajarnya,” katanya ketika tampil sebagai tetamu pada program Paarvai terbitan Bernama TV di Wisma Bernama di sini pada Jumaat lepas.
Ganesan berkata MHS turut berhubung dengan pihak berkuasa berkaitan dan pengurusan kuil bagi menyelesaikan kes tertentu, termasuk melibatkan kuil di Kuala Kubu Bharu.
“Baru-baru ini, terdapat kes melibatkan dua kuil di daerah Hulu Selangor. Kami mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa berkaitan serta pentadbir kuil bagi mencari penyelesaian yang sesuai,” katanya.
Beliau berkata dalam situasi melibatkan rumah ibadat kecil atau kuil kecil, pendekatan yang diambil mungkin merangkumi penyatuan atau pemindahan melalui perundingan yang sewajarnya dengan pihak berkuasa serta pengurusan kuil.
“Apabila kami merujuk kepada kuil kecil atau rumah ibadat kecil, kadangkala ia perlu disatukan atau dipindahkan. Perkara ini dilaksanakan menerusi perbincangan dengan pihak berkuasa berkaitan serta dengan persetujuan pihak pengurusan kuil.
“Kami telah menubuhkan satu pasukan peguam untuk meneliti bagaimana perkara ini boleh ditangani melalui saluran undang-undang serta penyelesaian berasaskan komuniti,” katanya.
Beliau berkata pertubuhan itu memastikan prosedur keagamaan dipatuhi sepenuhnya, khususnya apabila memindahkan berhala atau patung dari kuil yang terjejas.
“Menurut amalan agama kami, upacara ritual yang sewajarnya mesti dilaksanakan oleh sami sebelum sebarang pemindahan berhala dilakukan,” katanya.
Kenyataan itu dibuat ketika kerajaan terus memperkukuh tadbir urus Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) menerusi penyelarasan antara agensi, pematuhan kepada garis panduan serta pendekatan berasaskan dialog, menurut kenyataan bersama Timbalan Menteri Perpaduan Negara R. Yuneswaran dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Roslin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial