Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Lebih 800 Sertai Ipoh Moreh Run 2026 Semarakkan Ramadan

08/03/2026 08:39 AM

Oleh Razif Rosli

IPOH, 7 Mac (Bernama) -- Suasana Ramadan di bandar raya ini terus disemarakkan dengan penganjuran Ipoh Moreh Run 2026, iaitu program larian santai waktu malam yang berjaya menghimpunkan lebih 800 peserta di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz @ Padang Polo bermula 10 malam.

Presiden Kelab Larian Komuniti The Bulatan Runners Nazrul Zaim Nazlan berkata program itu bertujuan menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat di samping mengeratkan silaturahim komuniti melalui aktiviti riadah yang diadakan selepas waktu berbuka puasa.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata penganjuran larian pada waktu malam bersempena dengan bulan Ramadan memberi pengalaman unik kepada para peserta kerana mereka berpeluang menikmati suasana riadah yang lebih santai dan harmoni selepas menunaikan ibadah sepanjang hari.

"Ipoh Moreh Run tahun ini merupakan edisi kedua penganjurannya, dan pihak penganjur bercadang menjadikannya sebagai acara tahunan setiap kali bulan Ramadan.

“Untuk edisi kali ini, program dianjurkan sepenuhnya The Bulatan Runners dan kami berharap ia dapat terus berkembang sebagai acara komuniti yang menghimpunkan masyarakat melalui aktiviti riadah sihat dan santai sepanjang Ramadan,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Majlis perasmian program disempurnakan Ketua Whip Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Datuk Mazlan Abd Rahman yang turut menyatakan sokongan terhadap penganjuran program komuniti yang memberi manfaat kepada kesejahteraan masyarakat.

Nazrul Zaim berkata antara kelab yang mengambil bahagian ialah The Polo Runners, Bagirun Club, Runners Tanpa Sempadan, MAF Runners, Sahabat Senaman Santai, Sri Iskandar Runners dan Lari Ke Maya.

Sementara itu, Mazlan ketika ditemui berkata dengan penganjuran program larian santai berkenaan mampu menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan warga Ipoh di samping mempromosikan kepentingan gaya hidup sihat.

"Selain larian santai, peserta turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti sampingan termasuk sesi interaksi komuniti, cabutan bertuah serta menikmati jamuan moreh yang disediakan pihak penganjur sebagai simbol kebersamaan selepas tamat larian," katanya.

Katanya, pihaknya berharap Ipoh Moreh Run dapat diteruskan sebagai acara tahunan pada masa hadapan bagi memperkukuh hubungan komuniti serta mempromosikan budaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat di bandar raya ini, khususnya sepanjang bulan Ramadan.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan