Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

KUSKOP Perluas Kemudahan TikTok Shop Live Hub Ke Pulau Pinang Dan Pahang Tahun Ini - Sim

05/03/2026 09:12 PM

PUTRAJAYA, 5 Mac (Bernama) -- Kemudahan TikTok Shop Live Hub akan diperluas ke lebih banyak negeri bagi membantu usahawan tempatan memanfaatkan platform digital untuk memasarkan produk mereka.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong berkata pada masa ini, terdapat empat live hub iaitu di Kuala Lumpur, Sabah, Kelantan serta Johor yang menawarkan kemudahan itu kepada para usahawan untuk mengadakan jualan secara langsung di TikTok.

Beliau berkata kemudahan itu menyediakan pelbagai bantuan termasuk peralatan siaran langsung, latihan dan khidmat bimbingan kepada usahawan yang ingin memasarkan produk mereka secara dalam talian.

Ad Banner
Ad Banner

"Tahun ini, kita akan menambah kemudahan live hub di Pulau Pinang dan Kuantan, Pahang serta memperluas kemudahan ini ke negeri lain supaya usahawan di seluruh negara dapat memanfaatkannya," kata beliau ketika berucap pada majlis pelancaran TikTok Shop Bazar Raya 2026 di sini hari ini.

Sim berkata penyediaan live hub itu bertujuan membantu usahawan yang mungkin tidak memiliki kemudahan bersesuaian di rumah atau premis perniagaan untuk menjalankan jualan secara langsung.

Beliau berkata penggunaan platform dalam talian seperti TikTok Shop mampu membuka peluang lebih luas kepada usahawan tempatan untuk meningkatkan jualan serta memperluas capaian pasaran, dan usaha itu juga selaras dengan strategi kementerian untuk memperkukuh akses pasaran kepada golongan berkenaan sebagai sebahagian daripada misi "Hebatkan Perniagaan Malaysia".

Inisiatif live hub ialah hasil kolaborasi strategik antara TikTok Shop dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional untuk memperkasakan usahawan tempatan melalui ekosistem e-dagang yang inovatif.

Sim berkata platform TikTok Shop dilihat berpotensi menjadi pemangkin kepada pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana tempatan dengan membantu usahawan memperluas pasaran serta meningkatkan jualan melalui penggunaan teknologi digital.

Beliau berkata platform itu bukan sahaja memberi peluang kepada usahawan muda malah membantu usahawan tradisional menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi serta trend pasaran semasa, dan kerajaan ingin memastikan mereka bukan sahaja memiliki bahagian lebih besar dalam pasaran domestik tetapi juga mampu menembusi pasaran antarabangsa.

Sim berkata TikTok Shop juga telah memainkan peranan penting dalam memperkasakan usahawan tempatan melalui pelbagai program latihan dan pembangunan perniagaan.

Katanya platform itu setakat ini telah melatih hampir 200,000 usahawan dan melahirkan 10 jutawan baharu melalui program inkubator yang dilaksanakan.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan