Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Tiada Notis Lanjutan, Penghuni 100 Rumah Di Kampung Sembulan Tengah Perlu Segera Berpindah

04/03/2026 09:57 PM

KOTA KINABALU, 4 Mac (Bernama) -- Penghuni kira-kira 100 rumah di Kampung Sembulan Tengah di sini diminta agar segera berpindah untuk memberi laluan kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menjalankan kerja-kerja pembersihan bagi pembangunan semula kawasan berkenaan.

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata setakat ini, sebanyak 27 rumah telah dirobohkan, dan DBKK sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan.

“Sebenarnya, yang tinggal di sana penyewa sahaja... kita telah memberi notis dan berharap mereka dapat berpindah dengan segera… setakat ini, tiada notis lanjutan diberikan,” katanya kepada media selepas melawat bazar Ramadan Lintasan Deasoka di sini hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata proses pemilihan pemaju yang berkelayakan untuk membangunkan kawasan itu kini di peringkat akhir sebelum dibawa kepada kerajaan negeri untuk dimuktamad.

Media sebelum ini melaporkan Kampung Sembulan Tengah yang mempunyai lebih 100 rumah menerima dua notis untuk dirobohkan iaitu pada 14 Okt dan 1 Nov 2024 kerana kawasan itu terbabit di bawah Skim Pembangunan Semula Bandar Sembulan.

Notis itu dikeluarkan oleh DBKK untuk membongkar atau memindahkan struktur rumah dalam tempoh 14 hari manakala notis Jabatan Tanah dan Ukur pula bagi mengosongkan tanah serta struktur bangunan dalam tempoh sama.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan