Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

JAS Kesan 47 Kontena Mengandungi Sisa Elektronik Di Pelabuhan Klang

04/03/2026 08:24 PM

PUTRAJAYA, 4 Mac (Bernama) -- Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesan 47 kontena mengandungi e-waste atau sisa elektronik hasil pemeriksaan terhadap 99 kontena menerusi Operasi Bongkar Kontena Siri 1/2026 di Pelabuhan Klang, semalam dan hari ini. 

Menurut kenyataan JAS hari ini, operasi itu dijalankan susulan lawatan kerja Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup ke Pelabuhan Klang pada 28 Feb lepas bagi meninjau status penahanan kontena sisa elektronik.

“Sebanyak 45 kontena telah diperiksa semalam dan daripada jumlah itu, 40 kontena didapati mengandungi buangan terjadual dengan 22 dikenal pasti sebagai sisa elektronik.

Ad Banner
Ad Banner

“Dalam operasi hari ini, JAS memeriksa 54 kontena dan 32 daripadanya mengandungi buangan terjadual dengan 25 dikenal pasti sisa elektronik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

JAS memaklumkan penguatkuasaan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam melindungi alam sekitar serta memastikan Malaysia tidak dijadikan destinasi pelupusan buangan haram.

Menurut kenyataan itu, antara tindakan diambil ialah pengeluaran notis pemulangan semula kontena ke negara asal serta tindakan di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, yang memperuntukkan denda maksimum RM10 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Selain itu, tindakan diambil di bawah Seksyen 43 akta sama terhadap ejen atau syarikat perkapalan yang gagal mematuhi prosedur pengimportan ditetapkan.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan