Ad Banner
 AM > BERITA

30 Tan Sisa Sehari: MBPP Sedia Mesin Proses Cebisan Makanan Kepada Kompos, Biodiesel

04/03/2026 11:39 AM

Oleh Erma Idayu Mohd Yusop

GEORGE TOWN, 4 Mac (Bernama) -- Di sebalik kemeriahan dan aroma juadah berbuka yang memenuhi setiap sudut bazar Ramadan, tersembunyi satu realiti yang jarang dibincangkan, iaitu lambakan sisa makanan yang mencecah puluhan tan setiap hari.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Datuk A. Rajendran berkata pihaknya mengumpul sehingga 30 tan sisa setiap hari daripada 26 tapak bazar Ramadan di kawasan pulau, menjadikan anggaran keseluruhan mencecah kira-kira 900 tan sebulan.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata bagi menangani isu itu, MBPP tahun ini menampilkan pendekatan lebih mesra alam dengan memperkenalkan penggunaan ‘mesin makanan’ bagi memproses sisa makanan di Tapak Bazar Ramadan Bayan Putra, berhampiran Queensbay Mall dekat sini.

“Mesin itu memproses sisa makanan kepada tiga komponen, iaitu minyak, cebisan sisa makanan yang dikisar halus dan air jernih dengan cebisan makanan yang diproses itu boleh dijadikan kompos.

“Minyak masak terpakai pula akan dikumpulkan untuk dikitar semula kepada biodiesel dan kami bekerjasama dengan Petronas untuk mengumpul minyak terpakai di semua bazar Ramadan,” katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama Bernama di Komtar baru-baru ini.

Rajendran berkata inisiatif perintis itu bertujuan mengurangkan jumlah sisa organik yang dihantar ke tapak pelupusan sampah, selain mendidik peniaga dan orang ramai mengenai kepentingan pengasingan sisa.

Selain Bayan Putra, MBPP turut menyediakan tong pengasingan sisa di empat lagi lokasi utama, iaitu bazar Ramadan Masjid Umar Ibnu Al-Khattab di Bayan Baru, Bazar Ramadan Balik Pulau, Bazar Ramadan Prangin Mall dan Bazar Ramadan Jalan Mahkamah di Bayan Lepas.

Beliau berkata langkah itu memudahkan peniaga mengasingkan sisa makanan daripada sisa pepejal lain, sekali gus mengurangkan pencemaran dan beban tapak pelupusan sebelum mesin dan tong berkenaan diperluaskan ke lebih banyak lokasi pada tahun hadapan.

“Dari segi pemantauan, kami mendapati pengguna mula menggunakan tong pengasingan sisa, cuma perlu beri lebih kesedaran kepada mereka mengenai perkara itu,” katanya.

Beliau berkata di sebalik usaha kelestarian itu, bazar Ramadan di bawah MBPP kekal sebagai pemangkin ekonomi tempatan dengan 1,481 gerai diluluskan tahun ini melibatkan penganjur seperti Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), masjid, persatuan dan badan pengurusan yang mengemukakan cadangan lokasi kepada MBPP untuk diteliti.

Rajendran berkata setiap permohonan melalui proses semakan rapi termasuk siasatan tapak serta ulasan agensi berkaitan seperti polis dan Jabatan Kerja Raya (JKR) sekiranya melibatkan penutupan jalan atau kawasan tertentu.

Beliau berkata bagi memastikan penyertaan lebih inklusif, MBPP menetapkan caj lesen dan kutipan sampah yang rendah, iaitu secara purata sekitar RM3 sehari bagi setiap gerai bertujuan untuk membantu peniaga mengekalkan harga jualan manakala harga tapak gerai bergantung kepada saiz namun masih berpatutan.

Menurut Rajendran, sepanjang Ramadan, nilai ekonomi yang dijana dianggarkan mencecah RM75 juta selain mewujudkan kira-kira 5,000 peluang pekerjaan tambahan.

“Dalam aspek keselamatan makanan, MBPP bekerjasama rapat dengan Jabatan Kesihatan Negeri bagi memastikan peniaga mematuhi syarat termasuk suntikan tifoid serta pemakaian apron, sarung tangan dan penutup kepala ketika mengendalikan makanan.

“Selain itu, MBPP turut mensyaratkan pemilik gerai berada di tapak perniagaan manakala kerja memasak perlu dilakukan oleh warga tempatan walaupun pembantu warga asing dibenarkan membantu dalam skop tertentu,” katanya.

Rajendran ketika mengulas mengenai penguatkuasaan berkata pendekatan MBPP lebih menekankan pendidikan dan nasihat sebelum tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang masih ingkar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan