Ad Banner
 AM > BERITA

RUU Hadkan Tempoh Jawatan PM Boleh Diusulkan Semula - Fahmi

03/03/2026 05:19 PM

CYBERJAYA, 3 Mac (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun boleh diusulkan semula pada bila-bila masa pada sidang Parlimen akan datang, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata terdapat dua lagi mesyuarat Parlimen tahun ini, iaitu pada Jun serta Oktober, dan usul berkenaan boleh dibawa kembali untuk pertimbangan.

“Kita boleh bawa balik bila-bila masa dalam sidang-sidang parlimen. Ada lagi dua mesyuarat tahun ini. Satu sekitar Jun dan satu lagi sekitar Oktober,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di sini hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

NSRC yang berpusat di Menara 2, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas lanjut, Fahmi menjelaskan RUU itu tidak mempunyai sebarang implikasi terhadap kerajaan mahupun Perdana Menteri, malah terdapat pandangan dalam kalangan Ahli Parlimen bahawa keputusan tidak meluluskannya memberi isyarat supaya Perdana Menteri terus berkhidmat melebihi 10 tahun.

“Ia bukan apa yang Perdana Menteri mahukan, tetapi itu isyarat yang diberikan, khususnya oleh pembangkang,” katanya.

Fahmi berkata pindaan Perlembagaan berkenaan sepatutnya dilihat sebagai reformasi institusi dan usaha memperkukuh tadbir urus serta prinsip akauntabiliti, bukan isu kepartian.

“Ini soal meletakkan had dan sekatan kepada tempoh perkhidmatan Perdana Menteri. Takkan prinsip kebertanggungjawaban ini tidak penting kepada semua Ahli Parlimen?,” katanya.

Mengulas kehadiran semasa pengundian, beliau berkata semua Ahli Parlimen daripada blok Pakatan Harapan hadir dan mengundi menyokong pindaan Perlembagaan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, terdapat lapan Ahli Parlimen kerajaan yang tidak hadir, melibatkan tiga daripada Barisan Nasional (BN) serta masing-masing seorang daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM), selain dua Ahli Parlimen Bebas.

Beliau berkata arahan telah dikeluarkan oleh Ketua Majlis dan Ketua Whip Kerajaan supaya semua Ahli Parlimen kerajaan hadir, justeru mereka yang tidak berada di Dewan Rakyat perlu memberi penjelasan kepada Ketua Whip parti dan Ketua Whip kerajaan.

“Ketua Whip (Datuk Seri Fadillah Yusof) ada bertanya dan saya lihat raut wajah beliau jelas menunjukkan rasa tidak puas hati apabila masih ada Ahli Parlimen kerajaan yang tidak hadir, sedangkan arahan telah dikeluarkan supaya semua berada di dewan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata 44 Ahli Parlimen pembangkang hadir tetapi tidak mengundi membuktikan mereka tidak berhasrat untuk menyokong sebarang sekatan terhadap tempoh perkhidmatan Perdana Menteri.

“Kita tidak kisah tentang kehadiran blok pembangkang, tetapi di blok kerajaan, tugas dan tanggungjawab Ahli Parlimen adalah untuk berada di Parlimen ketika sidang berlangsung,” katanya.

RUU berkenaan gagal memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Parlimen, apabila hanya 146 Ahli Parlimen menyokong, sementara 32 Ahli Parlimen tidak hadir dan 44 Ahli Parlimen berkecuali.

Keputusan undi belah bahagian yang berlangsung semalam itu diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul, selepas ia dibahaskan oleh 41 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Sebarang kelulusan RUU pindaan Perlembagaan Persekutuan memerlukan sekurang-kurangnya 148 sokongan Ahli Parlimen.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan