Ad Banner
 AM > BERITA

Pelajar Jatuh Bangunan Dipercayai "Tantrum" Ditegur Guru Bawa Telefon Ke Sekolah

03/03/2026 02:28 PM

SUNGAI PETANI, 3 Mac (Bernama) -- Insiden seorang pelajar tingkatan lima yang dilaporkan terjatuh dari bangunan sebuah sekolah menengah dekat sini semalam, dipercayai berpunca daripada reaksi mangsa yang tidak dapat menerima teguran guru kerana membawa telefon bimbit ke sekolah.

Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah berkata mangsa yang juga orang kurang upaya (OKU) pendengaran dan autisme, pernah dirujuk kepada perkhidmatan bimbingan dan kaunseling sekolah.

“Punca kejadian masih dalam siasatan tetapi siasatan awal mendapati, pada 26 Feb lepas, mangsa telah ditegur guru kerana membawa telefon pintar ke sekolah, bagaimanapun telefon itu tidak dirampas.

Ad Banner
Ad Banner

“Polis sudah menemu bual guru yang menegur serta beberapa guru lain dan kami akan siasat saksi lain untuk mendapatkan hasil siasatan yang telus,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda dekat sini hari ini. 

Adzli berkata mangsa sudah bersekolah di situ sejak tingkatan satu dan dikatakan mempunyai sindrom “tantrum” dan dipercayai tidak mampu menerima teguran.

Beliau berkata pihaknya juga telah melawat mangsa di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini dan dimaklumkan pelajar itu berada dalam keadaan stabil.

“Pagi ini saya sempat melawat mangsa di hospital dan saya dimaklumkan oleh doktor kecederaan yang dialami mangsa banyak pada bahagian kiri badan.

“Mangsa patah tangan kiri, patah tulang selangka kiri, patah tulang pinggul dan turut mengalami kecederaan pada paru-paru kiri. Walaupun serius tetapi secara keseluruhan, mangsa dalam keadaan stabil,” katanya.

Adzli berkata siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 507 D (2) Kanun Keseksaan dan orang ramai diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu.

“Kesan kecederaan pada mangsa konsisten dengan insiden mangsa jatuh. Tiada kecederaan pada kepala dan tiada kesan kecederaan lain yang boleh dikaitkan dengan kes buli,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan